
Walaupun telah diberi amaran oleh pihak berkuasa, ada pihak yang masih lapar mahu menunggang sentimen 3R demi mendapatkan kuasa politik.
Terbaru, pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa bahawa isu kalimah ‘Allah’ adalah bukti bahawa kerajaan dikuasai kaum bukan-Melayu. Muhyiddin ternyata memperlihatkan betapa terdesaknya PN untuk meraih undi orang Melayu dengan menimbulkan rasa tidak senang yang boleh menggugat perpaduan negara.
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai sangat merbahaya, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap mantan perdana menteri paling singkat dalam sejarah negara terbabit.
“Tindakan menunggang agama sebegini, demi memecahbelahkan rakyat Malaysia bagi mendapat manfaat politik bukan sahaja tidak beretika, malah merupakan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip yang menyatukan negara,” ujarnya dalam kenyataan.
“Politik menakut-nakutkan dan menunggang agama adalah seperti racun yang meresap ke hati dan minda masyarakat, menukar jiran menjadi musuh.
“Apabila ahli politik menggunakan taktik sedemikian, mereka mengoyakkan fabrik masyarakat dan menyemai perpecahan yang akan memakan masa untuk diubati,” jelasnya.
Bagi beliau, PN memperlihatkan kemunafikan yang jelas nyata.
“Hanya pada 22 Jun (lalu), Perikatan Nasional membuat kenyataan, malah sebuah janji; untuk tidak menggunakan kaum dan agama pada pilihan raya negeri, yang hari ini jelas tidak membawa erti.
“Lidah berbelit sebegini menunjukkan parti tersebut dipenuhi dusta dan penipuan semata-mata.” ujarnya.
Muhyiddin terlebih dahulu dilaporkan mendakwa keputusan menarik balik rayuan dalam isu kalimah Allah membuktikan bahawa kerajaan dikuasai orang bukan-Melayu.
Ini setelah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengingatkan agar semua parti politik tidak memainkan isu-isu sensitif terkait 3R, race, religion, royalty (bangsa, agama dan raja) sepanjang tempoh berkempen.
Sekiranya isu-isu 3R dijadikan modal kempen, ia boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dan ketidaktenteraman selain mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
Bagi Syerleena lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang terbina atas prinsip-prinsip perpaduan, keharmonian dan rasa saling hormat.
“Kita mesti sedar akan bahaya bermain sentimen kaum dan agama.
“Janganlah kita lupa bahawa punca kekuatan kita adalah pada kepelbagaian yang kita ada, dan jangan sesiapa cuba memecahbelahkan kita!” tegasnya.



