Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pertengahan tahun lepas, calon Harapan, Sdri Pang Sock Tao telah memperkenalkan LIMA teras yang terkandung dalam manifesto bertemakan ‘Kekal Kuala Kubu’, yang tertumpu kepada aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.
Manifesto beliau untuk membaik pulih, menyelenggara dan menaik taraf kawasan Kuala Kubu Baharu itu dijanjikan memandangkan pengalaman beliau yang cukup luas dalam dua kementerian yang berbeza.
Menepati janjinya ketika PRK, baru-baru ini selaku ADN KKB, Sdri Pang turun padang ke Kampung Orang Asli Buloh Telur, bagi meninjau projek baik pulih gelanggang sepak takraw yang merupakan sumbangan kewangan dari Kementerian Belia dan Sukan. Ia diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli berkaitan kepentingan bersukan dan gaya hidup sihat. Malah, kewujudan budaya sukan di kalangan penduduk kampung ini dapat membantu dalam mencungkil bakat, minat dan potensi terutamanya di kalangan golongan belia dalam bidang sukan.
Namun gelanggang baru bukanlah satu-satunya projek yang diterima penduduk kampung tersebut, mereka juga telah mendapat manfaat daripada penyelenggaraan gabion sungai untuk mengukuhkan struktur seperti tebing sungai dan menghalang hakisan, pembinaan longkang untuk mengelakkan takungan air dan pemasangan empat tiang lampu solar.
Bagi yang tidak tahu, Kampung Orang Asli Buloh Telur ini merupakan kampung angkat Menteri KBS sendiri iaitu Sdri Hannah Yeoh, di mana beliau telah memilih Kampung Orang Asli Buloh Telor sebagai Kampung Angkat sepanjang beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Menerusi program ini, keperluan dan isu sosio-ekonomi penduduk di kampung yang dipilih akan dikenalpasti dan mencadangkan kaedah penyelesaian di dalam aspek-aspek pendidikan, kemiskinan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya berlandaskan enam (6) rukun Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Ini merupakan bukti di mana penduduk Kuala Kubu Baharu telah memilih ADN yang tepat, sesuai dengan slogan ketika itu, Kekal Kuala Kubu, Bersama Perpaduan Memacu Pembangunan!