1. Jika Barisan Nasional dan Pakatan Harapan ikhlas ingin berkawan, berhentilah dari terus bertikam lidah.
2. Jika kita menginsafi bagaimana Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim terbentuk, berhentilah bertikam lidah. Waktu itu, kita semua di persimpangan. Atas kebijaksanaan Tuanku Yang DiPertuan Agong, Kerajaan Perpaduan terbina.
3. Titah YDP Agong adalah demi memastikan kerajaan dibentuk, kestabilan diwujudkan, pembangunan negara dilaksanakan, ekonomi dipulihkan serta kebajikan rakyat diberikan perhatian. Bukan untuk terus bertelagah antara satu sama lain.
4. Saya yakin, rakyat terbanyak juga mahukan perkara yang sama. Rakyat ingin melihat kerukunan dalam parti parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan. HANYA PEMBANGKANG yang mahukan kacau bilau dan meruntuhkan kerajaan ini.
5. Justeru, PH dan BN perlu menstabilkan suhu politik. Tidak lain dan tidak bukan, supaya kerajaan yang ada boleh fokus pada agenda besar untuk memulihkan ekonomi negara.
6. Hari ini saya semak di internet 1USD bersamaan RM4.16. Ini berita gembira buat rakyat. Semalam, rakan-rakan beritahu saya, ramai pemain bisnes telah mula mengeluarkan wang mereka untuk melabur dan membuat transaksi. Katanya, nilai saham juga bergerak dan mula melonjak. Ramai yang gembira walaupun belum 100% berpuas hati. Tetapi ekonomi kita nampaknya bergerak ke arah yang betul.
7. Bagaimana ini boleh dicapai? Tak lain tak bukan kerana kestabilan kerajaan yang ada pada hari ini. Para pelabur kembali yakin. Ekonomi kita kembali bergerak. Perniagaan boleh mula membuat keuntungan. Pengguna ada keberanian untuk berbelanja.
8. Saya sendiri menjadi sebahagian jentera pilihan raya kecil DUN Mahkota. Ini naratif yang kita bawa setiap kali bertemu pengundi Mahkota.
9. Saya tak nafi, ada yang kurang senang dengan pertembungan parti-parti politik diatas. Ada yang tawar hati untuk keluar mengundi. Ada yang berfikir hendak mengundi pembangkang. Dalam sebuah kedai kopi atau warong yang kami masuk berkempen, tak kurang 2 atau 3 dari 10 orang yang luahkan rasa tidak senang dengan gelagat orang politik.
10. TETAPI apabila kami berikan penerangan, mereka boleh terima. Penerangan kami tak lain dan tak bukan ialah penekanan pada peri pentingnya kita menyokong kerajaan hari ini. Pentingnya kita menolak ketepi ‘bising-bising’ perang mulut orang politik, tetapi melihat objektif yang lebih besar. Beri fokus pada iltizam kerajaan perpaduan untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan negara.
11. Alhamdulillah, rakyat boleh bersetuju. Mereka faham. Mereka tahu yang mana satu prioriti pada masa ini.
12. Jadi kita sebagai orang politik, takkanlah lebih ‘dungu’ dari rakyat biasa? Belum seminggu menang pilihan raya, sudah mahu bawa keluar pisau, parang, peluru dan pistol? Tembak antara satu sama lain? Tembak kaki sendiri?
13. Malulah.. malu pada rakyat di bawah sana. Mereka memerhatikan kita. Masa berkempen, semuanya cantik. Boleh ketepikan perselisihan dan melihat objektif lebih besar untuk rakyat. Selepas menang, terus bergaduh macam budak-budak yang tidak matang.
14. Saya fikir, pengundi Mahkota boleh bersetuju dengan usaha dipamerkan Kerajaan Perpaduan. Saya fikir, rakyat positif dengan kestabilan yang terhasil dari kerjasama PH dan BN.
15. Setakat beberapa kekurangan di sana sini semasa PRK Mahkota, itu perkara biasa dalam pilihan raya apatah lagi pilihan raya kecil. Janganlah sampai kita berbalah mempertikai itu dan ini. Kita tak boleh nafikan semua pihak telah berkerja keras menyumbang untuk kemenangan DUN Mahkota. Jika ada kelemahan, buat post mortem dan selesaikan dalam semangat perpaduan.
16. Sebab itu bagi saya, jika PH dan BN ikhlas untuk berkerjasama, berhentilah daripada terus bertikam lidah. Berhenti tembak menembak, hentam menghentam. Saya lihat, pimpinan tertinggi PH BN pun belum menyuarakan apa-apa lagi, yang dibawah sudah bergaduh ‘angkat kerusi dan meja’.
17. Berhenti berbalah. Duduk semeja. Kenal pasti kekuatan, perbaiki kelemahan. Jangan kerana kita, rosak permuafakatan. Jangan sampai kerana kita, terganggu usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan negara.
Sheikh Omar Ali
Naib Pengerusi DAP Johor