
1. Pada 18 Februari 2025, saya telah menghadiri sesi perbincangan mengenai Pembangunan Industri Nanas Johor yang telah diadakan di pejabat Majlis Daerah Simpang Renggam. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Zahari Bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
2. Dalam perbincangan saya memaklumkan, dari keseluruhan jumlah 18,275.71 hektar keluasan tanaman nanas nasional, 10,366.6 hektar berada di Johor. Dari aspek pengeluaran pula, Johor menyumbang sebanyak 280,878 metrik tan bersamaan 63.7% daripada jumlah keseluruhan 440,848.5 metrik tan dengan nilaian RM682.53 juta.
3. Berdasarkan angka-angka tersebut, Johor kekal sebagai negeri pengeluar nanas terbesar Malaysia dengan daerah Kluang dan Pontian sebagai kawasan yang mendominasi.
4. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, saya telah mencadangkan agar satu pelan rantaian ‘jejak nanas’ atau ‘pineapple trail’ diwujudkan khususnya melibatkan daerah Kluang dan Pontian. Pelan ini akan menjadi panduan para pengunjung serta pelancong untuk menjejaki lokasi-lokasi menarik berkaitan nanas. Ia mampu melonjakkan lagi industri nanas sedia ada di negeri ini menerusi sektor agropelancongan.
5. Misalnya, terdapat ladang nanas bertumpu seluas 9,000 ekar milik syarikat Peninsular di Simpang Renggam, ada ramai pekebun ladang berskala kecil dan sederhana serata Johor, Muzium Nanas di Pontian, Laman Agroteknologi Nanas di Alor Bukit serta ramai usahawan pelbagai produk berasaskan nanas meliputi makanan dan bukan makanan.
6. Pada masa yang sama, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut ambil maklum hasrat YAB Dato’ Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi untuk menjadikan Johor – khususnya daerah Kluang, sebagai destinasi utama agropelancongan bagi industri nanas. Antaranya mewujudkan sebuah lokasi ala ‘JermanPine Cafe’ di kawasan Simpang Renggam.
7. JermanPine Cafe adalah lokasi agropelancongan baharu bertemakan nanas di Kampung Peradin, Pontian. Sejak mula beroperasi Disember tahun lalu, JermanPine Cafe telah menarik ramai pengunjung dari seluruh tanah air serta pelancong dari pelbagai negara luar termasuk Singapura, Jepun, Korea, China, Jerman, negara Timur Tengah, US dan UK.
8. Saya percaya cadangan ini mampu direalisasikan. Lebih-lebih lagi NANAS sememangnya signifikan serta memiliki sejarah panjang di negeri Johor. Ia telah menjadi salah satu identiti negeri ini.
9. Bagi pihak LPNM, kami akan memberikan sokongan serta bantuan sewajarnya. Ia bertepatan dengan peranan LPNM itu sendiri selaku agensi peneraju yang mengurus dan mengawal selia keseluruhan rantaian industri nanas tanah air.
10. Turut sama dalam sesi perbincangan ialah En. Mohd Fa’iz Bin Salehon, Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), En. Wan Hafiq Bin Abdul Jalil, Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar Johor, En. Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pengarah LPNM Johor dan Pn. Azlina Binti Md Dom, Pegawai Pertanian Daerah Kluang.
SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI