JPA akan Dipersalahkan Jika Pelaksanaan 45 Jam Kerja Sebabkan Ramai Letak Jawatan dan Sistem Kesihatan Gagal

whatsapp image 2025 07 02 at 15.56.26

Saya menyokong penuh kenyataan YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mengenai situasi kritikal kekurangan jururawat yang sedang melanda negara.

Sejak tahun 2020, lebih 6,900 petugas kesihatan termasuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar telah meletakkan jawatan — satu angka yang membimbangkan dan menggambarkan tekanan sebenar yang dihadapi oleh mereka di lapangan.

Dalam keadaan sistem kesihatan awam yang sudah sedia tenat, cadangan untuk meningkatkan waktu kerja mingguan kepada 45 jam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah tindakan tidak sensitif dan berisiko tinggi.

Saya ingin beri amaran tegas — jika pelaksanaan ini diteruskan, ramai lagi petugas kesihatan akan meletak jawatan dan sistem kesihatan negara akan menuju kehancuran. JPA harus bertanggungjawab sepenuhnya jika kegagalan ini berlaku.

Saya telah berinteraksi dengan banyak persatuan jururawat dan kesatuan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan majoriti menyatakan mereka tidak akan bertahan jika beban kerja ditambah tanpa sebarang imbuhan atau penyelesaian isu kebajikan.

Moral petugas kesihatan kini berada pada tahap paling rendah. Apa yang diperlukan bukanlah tambahan beban kerja, tetapi sokongan, insentif, dan pengiktirafan terhadap jasa mereka yang berkorban setiap hari demi kesihatan rakyat.

Jangan tunggu sehingga hospital awam lumpuh, barulah mahu mencari siapa yang harus dipersalahkan. Jika JPA terus berkeras, maka merekalah yang akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat.

Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam

Ahli Dewan Negara

Recommended Posts