Kalau tak ubah, kita hanya tunggu mati…

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr Hiew King Cheu yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sentiasa sibuk membantu rakyat di negeri bawah bayu menyelesaikan masalah mereka.  Wartawan Roketkini Fairuz Azhan menemu bual Dr Hiew untuk mengetahui dengan lebih mendalam isu-isu semasa di Sabah.

Apakah merupakan masalah-masalah yang melanda rakyat negeri Sabah ketika ini?

Di Sabah masalah memang banyak. Yang pertama ialah masalah ekonomi. Di Sabah kita mengalami masalah pendatang tanpa izin (PATI) lebih 700,000 orang di Sabah. Yang mereka ini memang bawa banyak masalah seperti ekonomi, sosial dan sebagainya. Mereka ini semua juga mendapat MyKad dengan cara yang tidak betul. Mungkin ada dalang yang membantu mereka.

Anak-anak muda juga tidak mahu balik ke Sabah. Mereka keluar pergi Kuala Lumpur, Johor Baru dan bandar-bandar Semenanjung. Ini menyebabkan ‘brain-drain’ dan ini semua ada sebabnya. Di Sabah pembangunan tiada, duit pun tiada, pelabur juga tak mahu datang ke Sabah. Ini semua berpunca daripada pengurusan negeri Sabah yang teruk. Pemerintah tak ambil kisah apa yang sedang berlaku kerana mereka menganggap Sabah ini sebuah negeri ‘deposit’. Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja, tapi tak mahu memberi.

Sabah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam seperti petroleum, gas, hutan, tanah dan sebagainya, namun kenapa kita yang paling miskin? Sabah ialah negeri paling miskin di Malaysia. Sabah menyumbang 42 % rakyat Malaysia yang berada di bawah garis kemiskinan seluruh negara. Mengapa ini berlaku?

Kalau kita susun satu-satu, kita boleh nampak mengapa ini berlaku di Sabah. Kerajaan Persekutuan hanya cakap saja, tindakan tiada. Orang Sabah semakin lama membuka mata dan mereka berasa amat marah. Mereka asyik ditipu semenjak penubuhan Malaysia. Mereka ditipu dan diekspoitasi. Bila tiba pilihan raya, mereka bom rakyat dengan pelbagai gula-gula untuk menyokong Barisan Nasional. Oleh itu, persepsinya adalah kita Pakatan Rakyat adalah lemah di Sabah.

Tugas kita adalah untuk membina kepercayaan rakyat dan memberitahu rakyat apa yang benar, apa yang salah demi masa depan kita dan anak-anak kita. Dari situlah kita boleh mengubah ‘pengurus’nya kerana pengurusan yang kini ada di Sabah adalah pengurusan yang tak berguna. Bukan sahaja tak guna, mereka merampas harta milik rakyat Sabah. Memang cari nahas kalau kita masih percaya dengan orang-orang seperti ini.

Satu lagi masalah ialah taktik-taktik BN yang mahu pecahkan undi. Hanya di Sabah sahaja berlakunya pertandingan 5-7 penjuru. Dari mana mereka datang? Apa agenda mereka? Siapa yang biaya mereka? Siapa hantar mereka? Taktik ini memang berkesan untuk mereka, tetapi siapa yang rugi? Rakyat Sabah juga.

Apa yang boleh dilakukan oleh DAP dan Pakatan Rakyat bagi mengatasi masalah ini demi kemaslahatan rakyat Sabah?

Apa sebenarnya tujuan pilihan raya? Kita mahu pilih orang yang baik, bersih, kerja kuat dan telus. Banyak ‘Yang Berhormat’ tidak berkerja. Ramai yang tak pernah turun padang. Malah BN kali ini sudah memberikan arahan supaya turun padang. Ini membuktikan jika sekiranya mereka selama in mereka turun padang, arahan tak perlu diberi dan setiap kali mereka turun padang, ia tak perlu di’highlight’ kerana itu perkara semula jadi.

Pekara pokoknya adalah pangkah pengundian kita harus diberikan kepada orang yang sepatutnya. Kita tak kisah sama ada beliau seorang nama besar ataupun tidak. Yang penting hati beliau bersih, bukannya hati kotor. Ini sangat penting. Di Sabah, kali ini kali yang terakhir. Kali ini kalau kita tak dapat tukar, habis wayang. Ini peluang terakhir. Peluang terakhir kerana kerana negeri ini dah merundum jauh ke dalam longkang.

Yang kedua, dengan pertambahan ‘bumiputera baru’ (asalnya PATI), adakah warga bumiputera asal Sabah dapat mengembalikan apa yang telah hilang selama ini? Mereka dah kuasai segala-galanya dan kita rakyat Sabah tidak akan mempunyai kuasa untuk mengubah semua ini. Lihatlah kadar pertambahan penduduk di Sabah. Mengapa ia 5 kali ganda lebih pantas dari mana-mana negeri di Malaysia? Ini semua tak logik dan tak masuk akal.

Angin perubahan dilihat lebih kencang di Semenanjung berbanding di Sabah dan dikatakan bahawa PR susah untuk menembusi negeri Sabah. Mengapa ini berlaku?

Saya lihat ada 3 sebab yang utama. Yang pertama, untuk PR Sabah, DAP boleh dikatakan maju tapi PAS dan PKR ada masalah sendiri di Sabah. PKR pemimpinnya bertukar-tukar dan ini sebenarnya melemahkan jentera dan mekanisme mereka untuk bergerak. PAS pula masih belum diterima sepenuhnya kerana kepelbagaian agama di Sabah sudah menjadi budaya. Satu lagi adalah kekurangan pendedahan media.

Kita dalam DAP Sabah kena masuk kampung dan kita memang buat itu. Bila kita masuk kampung, kita bagi akhbar Roket Bahasa Melayu dan itu sangat bagus. Kita bagi dan mereka baca dan mereka boleh faham kita. Oleh itu di Sabah DAP semakin diterima orang Bumiputera dan banyak cawangan-cawangan Bumiputera kita. Siapa kita DAP ini parti Cina? Kita parti rakyat Malaysia. Bukan Kadazan Dusun, bukan Cina, bukan Melanau.

Isu yang sedang hangat diperkatakan di Sabah kini adalah isu tanah hak adat Bumiputera (NCR), boleh saudara jelaskan apa sebenarnya isu tersebut?

Isu ini banyak ‘grey area’. Apa yang boleh dibuat, tak boleh buat. Apa kuasa mereka, dan sebagainya dan masalah ini merupakan masalah sejak zaman British lagi. Ini menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan Sabah ketika ini. Dah lama dah. Sepatutnya sekarang, pindaan-pindaan ataupun undang-undang patut dah lama dibuat tapi mereka tak buat apa. Mereka asyik berdalih dan memberikan alasan sahaja. Kerana apa? Rampas tanah! Mereka asyik mencari ‘loopholes’ dalam undang-undang lepas itu ekploitasikannya.

Jadi yang jadi mangsa penduduk kampung yang dah duduk situ berapa generasi pun kita tak tahu, dihalau. Tanah sudah kena angkat dengan syarikat-syarikat kroni. Macam mana semua ini? Mengapa kita tak boleh bagi geran hak milik? Saya berani berjanji bahawa sekiranya PR mentadbir Sabah maka kita akan memperbetulkan semua ini dan menjuarai rakyat negeri Sabah. Beratus ribu ekar tanah dirampas daripada rakyat Sabah dan semua ini harus dihentikan. Beribu-ribu orang berjumpa saya tentang isu ini. Rumah kena robohlah, kena halaulah, tak tau apa nak buat, menangislah, tak boleh tanam sayurlah, semua masalah ini.

Bagaimana peluang PR di Sabah dalam PRU ke-13?

Lim Kit Siang mengatakan bahawa beliau mahu menjadikan Sabah, Sarawak dan Johor sebagai negeri barisan hadapan. Ini kerana negeri-negeri ini diakui sukar nak tembus. Oleh itu kita kena berusaha bersungguh-sungguh supaya maltamat kita tercapai. BN tidak akan benar kita ‘have a good time’ untuk merebut pertandingan kerusi. Mereka akan menggunakan semua cara untuk memusnahkan kita. Hantar parti-parti kecil dan calon mereka supaya undi itu pecah. Andai kata satu parti mengumumkan mereka mahu bertanding 40 kerusi. BN akan tanya satu kerusi berapa (ringgit)? 40 kerusi darab RM500,000 hanyalah RM20 juta. RM20 juta untuk menawan satu negeri amat murah! Jadi hantar lagi satu parti, hantar lagi satu parti, jadilah pertandingan 5 penjuru. Kalau kita tidak jaga semua ini, habis wayang.

Mereka asyik nak memfitnah DAP. Mereka akan berkata, DAP parti Semenanjung, DAP itu parti Cina, adakah rakyat akan percaya? Memang ada yang akan percaya, tambahan pula ada gula-gula. Pemberian RM500 baru-baru ada kesannya. Tapi kita kasi tahu rakyat, BN kasi anda RM500 sekali sahaja menjelang pilihan raya, kita akan bagi RM1,000 setiap tahun. Selama 55 tahun, mereka hanya berikan RM500 sekali ini, tapi kita nak kasi mereka RM1,000 untuk setiap tahun. Bagaimana kita boleh janji ini semua? Kerana kita tidak mengamalkan rasuah. Kita nak bina semula kerajaan negeri Sabah, kasi ekonomi bangun semula barulah kita hidup lebih baik.

Peluang untuk menang pilihan raya bukannya tiada, tapi DAP, PAS dan PKR harus merunding kerusi dengan baik. Dulu DAP bertanding sendiri, PKR bertanding sendiri, PAS bertanding sendiri, tapi kini kita berkerjasama. Untuk kawasan-kawasan tertentu, kita tahu siapa dia calon PR yang terbaik. Kita tak kisah dari parti mana asalkan dia merupakan calon terbaik PR. Jika calon anda lagi baik dari calon saya, saya akan berundur. Kita kena pakai format dan formula ini, baru kita boleh menang. Kerjasama ini sangat penting dan kita harus sepakat dan utuh.

Kit Siang bilang sama saya, berikan saya 9 kerusi dari Sabah. Sarawak 9 atau pun 10, Johor 9 ataupun 10, lepas itu kita boleh berjaya menumbangkan BN sekali dan selamanya. Jika kita berkerja keras, kita akan meretakkan Barisan Nasional.

Apakah mesej saudara tentang pentingnya “ubah” kepada seluruh rakyat Sabah?

Sepertimana yang saya sebut tadi, rakyat Sabah menderita, rakyat Sabah kecewa. Infrastruktur teramatlah teruk dan ini ditambahkan pula dengan bermacam-macam masalah yang lain. Anak muda sudah lari tak mahu duduk Sabah. Belajar tinggi-tinggi, tak mahu balik. Lama-kelamaan Sabah semakin tertinggal di belakang. Ini yang kita tak mahu. Jika pengurus Sabah itu baik, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri, jika mereka baik, tak ada masalah. Tapi lihatlah situasinya sekarang.

Jadi kita kena tukar pengurus. Dulu di Sabah kalau pilihan raya kita lihat baju kena tukar, tapi orangnya tidak bertukar. Pairin berapa kali? Yong Teck Lee ke, Musa Aman ke, masih duduk sana! Ini bukannya perubahan! Baju sudah tukar, parti sudah tukar, tapi orangnya masih duduk atas sana. Orang Sabah bukannya orang bodoh dan mereka dapat melihat semua ini. Orang Sabah mahukan perubahan. Kalau kita tak ubah, kita hanya menunggu kematian. Itulah situasinya sekarang.

Oleh itu kita kena sentiasa berkerja keras dan kita beruntung kerana kita mempunyai barisan pimpinan di Sabah yang sememangnya berkerja keras. Tapi saya ingin berkata pada rakyat, bahawa bukan sahaja PAS, DAP dan PKR yang kena kerja kuat. Kamu semua juga kena berkerja dan berkempen kuat-kuat. Ini bukan untuk DAP, PAS dan PKR. Kita hanyalah sebagai pencetus, yang lainnya terletak pada anda kerana ini semua berkaitan masa depan kita semua.

Saya boleh pergi, pembantu-pembantu saya boleh pergi, tapi mana anda semua mahu pergi? Jika kita tak mahu berkerja keras untuk masa depan kita, ambil RM500 dari BN dan puas hati, itu hak anda, tetapi anda harus menjawab pada diri sendiri. Apabila kita memangkah seseorang (undi) maka dengan ini kita menyerahkan hak kita dan tanggungjawab kepada beliau yang anda percaya itu. Oleh itu pastikanlah anda meletakkan pangkah anda dalam kotak yang tepat. Pilihlah orang yang anda percaya dan orang yang tidak akan mencuri dari anda. – Roketkini.com

Recommended Posts