1. Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Dato Haji Ahmad Yahaya, mengenai pengumuman Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek bahawa kantin sekolah akan dibuka sepanjang bulan Ramadan.
2. Dato Ahmad Yahaya telah dilaporkan berkata bahawa pengumuman tersebut adalah ‘keterlaluan’ dan kononnya tidak menghormati bulan Ramadan.
3. Terdapat pelbagai sebab mengapa kantin wajar dibuka ketika bulan Ramadan. Di sesebuah sekolah, ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa. Di samping itu, untuk anak-anak Muslim walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa.
4. Kita tidak seharusnya lupa mengenai insiden-insiden yang dilaporkan sebelum ini di mana anak-anak bukan Muslim terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat-tempat yang tidak sesuai sewaktu bulan puasa. Adakah pemimpin PAS seperti Dato Haji Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?
5. Tujuan dan niat pengumuman Menteri Pendidikan tempoh hari adalah baik dan berpaksikan nilai kemanusiaan, jadi amatlah mendukacitakan apabila ada pemimpin PAS dan Perikatan Nasional yang menjadikan perkara ini suatu polemik politik.
6. Sekali lagi, PAS dan Perikatan Nasional membuktikan bahawa pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia. Jelas bahawa mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang memecahbelah masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan.
7. Saya menggesa PAS dan Perikatan Nasional untuk berhenti mempolitikkan kantin sekolah anak-anak kita. Perkara seperti ini tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka.
Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi
13 Mac 2024