1. Debat – flip-flop Najib.
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Chua Soi Lek, Koh Tsu Koon, Husam Musa, Ahmad Shabery Chik, Khairy Jamaludin dan Saifudin Abdullah, semua ini insan politik. Mereka telah memperlihatkan kematangannya berpolitik dengan naik ke pentas debat untuk berhujah.
Tidak kiralah intipati hujah itu bernas atau jahil, sekurang-kurangnya rakyat dapat menilai ahli politik dan memahami atau menikmati kematangan berpolitik. Inilah semangat demokrasi.
Kita tidak perlu membohongi diri sendiri bahawa inilah pentas buat politikus menunjukan bakat dan kebolehannya. Tak kan nak bermesyuarat atau berdiskusi pula. Memang ini pentas untuk mencari publisiti, mengapa perlu berbohong pada realiti?
Prinsip debat ini mudah sahaja, iaitu sama ada ia berkaitan agenda (polisi/dasar) atau isu semasa. Debat ini adalah medan untuk menguji idea-idea si pembuat dasar iaitu politikus.
Dalam bahasa yang lebih mudah, perbahasan di Parlimen ditukar atau dibawa ke pentas awam, ada media, ada penonton dan ia dijalankan secara terbuka dengan penuh keadilan dan kesamarataan masa.
Katanya…Najib Tun Razak bersedia nak berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan lawan itu “mempunyai pemikiran munasabah dan serius tentang masa depan negara”. Cakap Najib ini seolah-olah nak menggambarkan Anwar Ibrahim itu tidak ada otak yang rasional, suka bergurau dengan masa depan negara. Mungkin Najib lupa dia pernah jadi junior Anwar sewaktu Ketua Pembangkang menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Begitulah flip-flop Najib nak mengelak dari berdebat. Kata orang tua-tua, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
2. Perdana Menteri Tak patut jadi Menteri Kewangan
Di Malaysia ni memang banyak yang unik, budayanya unik, bahasanya unik malah politik dan demokrasinya juga unik. Keunikannya hingga semua boleh dibuat atau diadakan, asalkan perkataan ‘boleh’ itu diucapkan oleh Tun Mahathir Mohamed, maka tiada yang mustahil sesuau hal itu boleh dibuat, walaupun tiada rasionalnya.
Tapi jika PR kata boleh, maka BN akan kata ‘tidak masuk akal’, ‘mengarut’, ‘gila’ dan sebagainya.
Menara Petronas memang megah berdiri, tapi hingga hari ini, banyak premis yang masih kosong tidak ada penyewa, ini sangat unik sebagai satu arca kemegahan rakyat. Litar F1 Sepang, memang cantik tetapi hingga kini laporan tentang untung-ruginya masih tak terlapor, ini namanya pentadbiran yang unik.
Syarikat MAS, memang besar banyak aset suatu ketika dulu. Kini MAS rugi berbillion ringgit, ini pula dasar penswastaan yang sangat unik.
Dulu semasa gawat, Mahathir ambil alih jadi Menteri Kewangan dengan sasaran hingga selesai krisis ekonomi, maka dia letak jawatan. Tapi, bukan sahaja Mahathir malah Pak lah dan Najib pun terus mengamalkan gaya politik yang unik ini. Dalam negara maju, sudah pasti idea unik ini sudah lama berkubur.
Tetapi setelah Pakatan Rakyat declare jika ambil alih Putrajaya dan Anwar jadi PM, maka beliau tidak akan jadi Menteri Kewangan. Idea ini cepat-cepat dibeli oleh Tun Daim Zainudin.
Katanya… Tun Daim ini memang orang yang ligat berniaga, dia tahu apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan. Jadi, bila dia ‘jual’ cadangan ini pada BN, maka jelaslah bahawa meniru idea Pakatan Rakyat adalah satu kaedah yang sangat laku ketika ini.
Lihat saja modal politik Najib menjelang pilihanraya ini, semuanya idea yang cedok dari idea dan polisi PR. Tak mengapalah, jika cara itu boleh memenangkan rakyat, silakan. Rakyat tahu yang mana ikhlas dan yang mana sekadar nak beli undi.