KBS lancar inisiatif Youth Capsule untuk golongan belia mencari kerja

kbs y capsule

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada hari semalam telah melancarkan insiaitif baharu Youth Capsule (Y-Capsule) di mana golongan belia luar bandar yang datang mencari kerja di Kuala Lumpur diberi fasiliti penginapan di International Youth Centre (IYC) di Cheras sewaktu proses mencari kerja di ibu negara.

Inisiatif yang akan mula beroperasi pada hari Jumaat, 15 September ini diberikan kepada golongan sasar yang berumur 18 hingga 40 tahun dari luar bandar dan tidak mampu untuk menyewa bilik di sini.

Dengan kadar RAHMAH serendah RM10 untuk satu malam, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) akan menyediakan lima buah dormitori yang terdiri daripada 54 buah katil beserta dengan loker untuk kemudahan belia yang berminat untuk menginap di situ. 

Hannah juga menyatakan bahawa belia boleh juga memilih untuk membuat bayaran setelah berjaya mendapatkan kerja di sini.

Ahli Parlimen Segambut itu berharap juga bahawa inisiatif ini akan membantu, memperkasa, serta memudahkan golongan belia dalam proses pencarian kerja mereka. 

“Program ini menyasarkan belia yang berhasrat untuk menjalani latihan industri, pencari kerja, dan golongan yang telah bekerja tetapi tidak mempunyai tempat untuk menginap.” terang Hannah Yeoh.

Menurut Hannah juga, inisiatif Y-Capsule ini diusahakan berdasarkan statistik di mana 38 peratus dari golongan gelandangan di Malaysia terdiri daripada golongan yang berusia 18 hingga 30 tahun.

Penyewaan bilik dan katil adalah melalui “first come first serve basis”.

Turut disertakan dalam fasiliti IYC untuk kegunaan dan kemudahan belia perhentian bas berdekatan, Wi-Fi, peralatan memasak, dan dobi layan diri pada kadar yang berpatutan.

Syarat kelayakan untuk menginap di Y-Capsule adalah golongan belia haruslah warganegara Malaysia, berusia 18 hingga 40 tahun, dan mempunyai tujuan mencari kerja, mendapat kerja tetapi tiada tempat penginapan, atau menjalani latihan industri/internship/praktikum.

Recommended Posts