
Saya mengecam layanan berat sebelah dalam sistem keadilan negara. Rakyat biasa direman berhari-hari untuk kesalahan kecil, tetapi dua anggota polis yang didakwa mencuri RM300,000 di Bukit Jalil baru-baru ini hanya ditahan sehari pada 23 Februari tanpa digantung tugas. Lebih mengejutkan, pada 1 Januari lalu, seorang pegawai imigresen yang ditangkap bersama 12 pasport asing di dalam seluarnya di KLIA tidak ditahan atau didakwa, sebaliknya hanya dipindahkan tugas!
Ini bukan sekadar isu keadilan, tetapi bukti jelas wujudnya dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang. Bandingkan dengan kes berikut:
🔹 1 Februari 2025 – Dua warga emas direman empat hari kerana mencuri RM2,500 di majlis kahwin.
🔹 26 Januari 2025 – Seorang lelaki direman empat hari kerana mencuri telefon bimbit milik OKU.
🔹 11 Jun 2024 – Seorang lelaki direman enam hari kerana mencuri kereta.
🔹 14 Oktober 2020 – Enam lelaki direman tiga hari kerana mencuri lembu.
Mengapa rakyat biasa direman lebih lama berbanding anggota polis yang mencuri ratusan ribu ringgit? Jika warga emas dan pencuri telefon bimbit boleh direman sehingga empat hari, mengapa polis hanya ditahan sehari dan tidak digantung tugas? Mengapa pegawai imigresen yang menyeludup 12 pasport masih bebas tanpa tindakan tegas?
Peraturan reman mesti dipinda segera! Tidak boleh ada satu undang-undang untuk rakyat biasa dan satu lagi untuk mereka yang beruniform. Jika rakyat biasa boleh direman berhari-hari, pegawai kerajaan dan penguatkuasa yang terlibat dalam jenayah mesti menerima layanan yang sama.
Saya mendesak kerajaan memastikan bahawa semua suspek, tanpa mengira pangkat atau status, dikenakan tindakan yang adil dalam proses siasatan. Tiada siapa yang kebal daripada undang-undang!
Terima kasih.
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong