
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberikan perhatian serius terhadap insiden kebakaran yang berlaku di Putra Heights, Selangor pada 1 April 2025.
Pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada mangsa-mangsa kejadian ini daripada Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Selangor. Bantuan tersebut merangkumi bantuan wang tunai, bantuan sewa rumah transit, penyewaan kereta secara percuma, dan sebagainya.
Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi fokus utama kepada inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah-rumah yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
Sehubungan itu, KPKT pada minggu lepas telah menubuhkan Special Task Force yang terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian ini, khususnya agensi pelaksana iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA.
Task force tersebut turut menyiapkan pelan tindakan untuk membaikpulih dan membina semula rumah-rumah mangsa yang terjejas oleh kebakaran berkenaan berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelan tindakan tersebut telah diserahkan kepada PM pada hari ini.
Peruntukan RM2 juta kepada MBSJ
KPKT hari ini juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.
Pada masa yang sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SW Corp akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana tersebut sempena gotong royong pembersihan hujung minggu ini.
Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan