Kecaman keras terhadap penghinaan oleh Zamri Vinoth

482244999 1180039260182796 3597086251474819643 n

Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab oleh penceramah Muslim, Zamri Vinoth, yang mendakwa bahawa laungan suci “Vel Vel” oleh penganut Hindu adalah seperti seseorang yang mabuk. Kenyataan ini bukan sahaja menghina kepercayaan masyarakat Hindu, tetapi juga merupakan satu tindakan provokasi yang berniat jahat untuk meremehkan amalan keagamaan yang telah wujud sejak berzaman.

Kebiadaban seperti ini tidak boleh diterima sama sekali. Tiada sesiapa berhak menghina atau memperlekehkan kepercayaan agama lain, lebih-lebih lagi apabila Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang dibina atas prinsip saling hormat-menghormati. Apa yang dikatakan oleh Zamri Vinoth jelas menunjukkan kejahilan dan kebencian yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.

Saya mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu ini di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan Malaysia, yang memperuntukkan hukuman terhadap sesiapa yang cuba mencetuskan ketidakharmonian antara kaum dan agama. Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa, kerana ia berisiko menggugat keharmonian negara.

Cukup-cukuplah dengan retorik perkauman dan penghinaan terhadap agama lain! Kita tidak akan berdiam diri setiap kali ada pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dengan ucapan yang penuh kebencian. Saya berdiri teguh bersama komuniti Hindu dan semua kaum yang menolak kebencian, serta menegaskan bahawa penghormatan terhadap kepercayaan agama adalah asas perpaduan negara.

Preakas Sampunathan
ADN Kota Kemuning

Recommended Posts