Kecewa dengan tuduhan perkauman palsu terhadap Hannah Yeoh, setiausaha sulitnya tampil beri kenyataan

miswary

Beberapa minggu kebelakangan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah difitnah dan dituduh yang kononnya beliau terbabit dengan gerakan kristianisasi dan menyalahgunakan kuasa di kementeriannya.

Susulan daripada itu, setiausaha sulit Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut itu tampil memberi kenyataan bagi membidas tuduhan-tuduhan perkauman palsu yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memecahbelahkan keharmonian kaum.

Nor Miswary Ramli berkata, sepanjang dia mengenali serta bekerja dengan Hannh Yeoh sejak 2012, tidak pernah sekali pun pemimpin itu mempengaruhinya dengan ajaran Kristian.

Menurut Miswary yang merupakan anak kelahiran Kedah, beliau menegaskan betapa Hannah sangat mementingkan nilai toleransi dan akhlak yang baik. Nilai-nilai yang baik yang kami pelihara dan tonjolkan melangkaui politik dan kepartian.

Dalam hantaran di Facebooknya, beliau menceritakan pengalaman bekerja secara rapat dengan Hannah.

“Sepanjang bekerja dengan beliau, tidak pernah sekali pun beliau berdakwah atau ada kecenderungan mempengaruhi saya kepada agamanya.

“Beliau menghormati agama Islam – agama yang saya yakini sejak saya lahir – dalam setiap tindakan dan tingkah laku sehariannya,” katanya dalam catatan di Facebook

Dalam tempoh seminggu ini sahaja, dua kali Hannah difitnah dan dituduh dengan pelbagai gelaran yang keterlaluan berkaitan tugas sebagai Menteri di Kementerian Belia dan Sukan.

Dan yang paling memalukan kata Miswary, tukang fitnah tersebut adalah mereka yang mengakui beragama Islam dan orang Melayu dari parti yang kononnya memperjuangkan bangsa dan mendakwa parti mereka berlandaskan agama.

Tambahnya, walaupun Hannah kelihatan kuat menghadapi tohmahan namun kadang-kadang ia memberi kesan terhadap pemimpin DAP tersebut. Beliau turut merasa terkesan melihat Hannah difitnah sebegitu rupa.

Lantaran itu, Miswary telah tampil membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya berkaitan dakwaan yang dibuat Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan terhadap Hannah. Mohamad Kamal Mohamed mendakwa Hannah menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menafikan hak negeri itu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024. Bagaimanapun Hannah sendiri telah menjelaskan bahawa exco kelantan bersetuju agar negeri itu menganjurkan Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

Sebelum itu, Hannah juga telah difitnah terlibat dalam agenda evangelis melalui program ‘Jom Ziarah’ anjuran Impact Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah KBS. KBS bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa agensi terbabit menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasi’, sebaliknya inisiatif program ini diadakan bertujuan untuk membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan dan aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Miswary turut menegaskan bahawa tindakannya mempertahankan Hannah bukan kerana beliau mahu melawan tukang fitnah yang datang dari parti Pas tetapi beliau ingin mempertahankannya kerana Hannah berhak dipertahankan.

“Derita fitnah demi fitnah, berterusan tanpa berkesudahan seperti ini, tidak ada jiwa yang mampu menanggungnya – tidak terkecuali wanita anak dua ini,” katanya.

Recommended Posts