Kedudukan DAP Sarawak unik, terus jadi suara semak dan imbang dalam Kerajaan Sarawak

img 1541

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP Sarawak perlu mencari pendekatan dan formula dalam mewujudkan kerjasama dengan kerajaan, namun pada masa sama kekal sebagai suara semak imbang dalam Kerajaan Sarawak. 

Jelasnya, beliau mahu perkara itu diputuskan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk mencari pendekatan politik baharu kerana kedudukan DAP Sarawak cukup unik dan amat berbeza dengan cawangan negeri-negeri lain di negara ini. 

“Saya tahu ini bukan tugas mudah dan saya juga tahu ini bukan jawapan mudah bagi mereka (DAP Sarawak). Malah, banyak persoalan dibangkitkan,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Sarawak pada hujung minggu lalu.

Menurutnya, berbeza dengan cawangan DAP di negeri-negeri lain, DAP Sarawak disifatkannya sebagai paling unik kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat pusat namun di peringkat negeri bertindak sebagai pembangkang. 

“Ini bermakna DAP Sarawak mempunyai sebelah kaki sebagai kerajaan pusat manakala sebelah lagi kakinya sebagai pembangkang Kerajaan Sarawak,” katanya sambil menyifatkan ia adalah situasi sangat ‘halus’ dan unik. 

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Kerajaan Perpaduan meraikan ulang tahun pertama selepas penubuhannya pada November tahun lalu dan pencapaian diperolehi khususnya untuk Sarawak semakin baik.

Jelasnya, ini termasuk perjanjian dengan Kerajaan Sarawak mengenai pengambilalihan MASwings dan kesinambungan subsidi untuk perkhidmatan udara luar bandar diteruskan walaupun selepas pengambilalihan tersebut.

Tambahnya, satu lagi pencapaian lain ialah perjanjian bagi Kerajaan Sarawak untuk mengambil semula kawalan terhadap Pelabuhan Bintulu.

“Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan bajetnya mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengembalikan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.

“Kami bersetuju dengan cadangan ini kerana ia sejajar dengan perjuangan DAP untuk Sarawak, dan (pemulangan) Pelabuhan Bintulu merupakan langkah penting ke arah tujuan itu,” jelasnya.

Recommended Posts