“Kau pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal.” Demikian perkongsian penuh hiba Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melalui media sosial Instagram sebaik menerima khabar kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Hannah malah menulis panjang di Facebook, meluahkan kesedihannya.
“Saya kehilangan seorang sahabat yang sentiasa mempertahankan saya,” tulis Ahli Parlimen Segambut itu.
“Salahuddin seorang pemimpin yang sangat kuat bekerja. Beliau berbangga dengan inisiatif Rahmah-nya dan tidak membuang masa untuk memastikan ianya dilaksanakan dengan berkesan ke seluruh negara,” tambahnya lagi.
“Saya bersaksi bahawa Salahuddin tidak pernah sesekali mempersiakan setiap saat yang kalian mandatkan kepada beliau di Putrajaya.”
Bagi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Salahuddin adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi lantaran komitmennya terhadap prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada rakan-rakan.
“Beliau juga laksanakan tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan baik. Pelbagai inisiatif Rahmah telah diperkenalkan untuk membantu rakyat,” ujarnya dalam kenyataan takziah mewakili DAP.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan telah mengaturkan sebuah pesawat khas untuk membawa jenazah Allahyarham dari Alor Setar kembali ke kediaman keluarganya di Kampung Serkat, Tanjung Piai. Jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 2.30 pagi, Isnin.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Ahad malam selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Salahuddin meningkat popular setelah dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS pada 2003. Sebelum itu Allahyarham pernah dipenjarakan ekoran demonstrasi di Universiti Malaya bagi membantah kedatangan pasukan kriket Israel pada 1997.
Pertama kali menyertai pilihan raya pada 1999, Salahuddin tewas di Benut dan kemudiannya di Nusajaya pada 2013; namun menang bergaya di kerusi Simpang Jeram pada PRU 2018.
Di peringkat Parlimen, Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal, sebelum berpindah ke Pulai pada 2013. Meski tewas di kerusi itu pada PRU13, Salahuddin menewaskan tiga calon lain pada PRU 2018.
Mantan menteri industri asas tani itu dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kabinet kerajaan Madani. Idea ‘menu rahmah’ adalah hasil cetusan Allahyarham.
Sehingga hujung nyawa, Salahuddin telah mewakafkan hidupnya kepada rakyat Malaysia. Dalam ciapan terakhirnya di Twitter, Allahyarham berkongsi bagaimana harga barang di pasar kian terkawal.
“Singgah pi market sat tadi borak-borak dengan warga Kedah di Pekan Nat. Elok tengok semua barang basah semua fresh. Harga pun berpatutan,“ tulisnya.
“Terima kasih lah semua naa. Kita jumpa lagi nanti.”
Salahuddin Ayub meninggal dunia pada usia 61 tahun. Meninggalkan balu Datin Seri Fatimah Taha dan enam orang cahaya mata.
Jenazahnya disolatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Pontian bersama ribuan orang ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir.