
Di sebalik kejayaan pengagihan dana berjumlah RM965,539.44 hasil sumbangan rakyat Malaysia bagi Tabung Bantuan Putra Heights — inisiatif DAP untuk mangsa tragedi letupan paip gas — kisah menyayat hati Masayuan Takbir dan anak-anaknya menyerlah sebagai simbol ketabahan serta kasih sayang seorang ibu.
Masayuan, yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut, menerima sumbangan perubatan khas daripada pihak DAP bagi meringankan beban rawatan beliau dan anak-anak. Bantuan ini amat penting buat keluarga kecil ini yang kini sedang cuba untuk bangkit semula daripada tragedi, setelah mengalami kerosakan harta benda serta melalui detik-detik mencabar dari segi fizikal dan emosi.
Keperluan Masayuan dikenalpasti sebagai antara yang paling mendesak berikutan keadaan kesihatan beliau dan anak-anak yang masih trauma serta mengalami kecederaan fizikal. Sumbangan ini membolehkan mereka mendapatkan rawatan susulan dan ubat-ubatan yang diperlukan.
Masayuan melecur teruk dan mengalami kecederaan kaki selepas terjun ke sungai bersama dua anaknya untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran. Lebih memilukan, anak sulungnya yang berusia sembilan tahun sempat melafazkan kata-kata reda saat mereka berdepan detik getir itu.
Selain menerima bantuan RM2,000 bagi kategori kerosakan separa, baki dana sebanyak RM2,539.44 turut disumbangkan kepada keluarga Masayuan bagi menampung kos perubatan dua anak mereka yang juga terjejas dalam insiden tersebut.
Bantuan perubatan ini walaupun tidak mampu menghapuskan trauma yang dialami, sekurang-kurangnya memberi nafas lega kepada Masayuan untuk terus berjuang demi keluarga tercinta. Dalam keterbatasan dan kehilangan, beliau tetap bersyukur kerana nyawa mereka masih selamat – satu harapan baru untuk membina semula kehidupan yang musnah sekelip mata.