Kemandulan akademik – Oleh Muhammad Zir

27 JANUARI – Nak menyalahkan pemimpin barangkali lebih mudah, apatah lagi jika mereka adalah pemimpin UMNO. Tetapi itu bukanlah penyelesaian mutlak. Sebaliknya, setiap masalah atau krisis harus ditangani dengan melihat kembali blueprint dan cara ia dilaksanakan.

Isu yang yang ditimbulkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang masalah kekurangan pelajar yang memilih untuk mengikuti bidang pengajian beraliran sains semakin kritikal.

Memetik kata-kata beliau, “Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.”

Jika kita melihat model pendidikan negara, pelajar tidak ubah seperti satu produk yang dikilangkan di sekolah dan universiti. Bahan-bahan mentah ini (pelajar), sewaktu dikilang sekolah atau universiti, tidak dilatih untuk berfikiran kritis, sebaliknya ia dibentuk dan dipakejkan untuk mengikut peraturan.

Perkataan ‘peraturan’ ini cukup enak didengar tetapi maksudnya seringkali disalah tafsir. Dengan peraturan-peraturan yang berlapis-lapis ini juga, kerja guru-guru semakin terbeban. Masalah guru-guru pula timbul.

Inilah realiti sikap yang lahir dari perkataan yang molek dan indah itu. Dan kesannya cukup mendalam, iaitu minat pelajar ke sekolah, ke kelas dan keinginan memilih aliran telah luntur sama sekali.

Sekolah dan universiti sebagai kilang

Di universiti pula, terbawa-bawa dengan masalah ikut ‘peraturan’ hingga lahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Malah, di dalam kuliah juga, sikap untuk hanya mendengar, menghafal dan disuap dengan bahan-bahan pelajaran seperti di sekolah rendah dan menengah berterusan.

Pelajar malas bertanya pensyarah, dan melihat keadaan itu, pensyarah juga mula semakin malas. Suasana akedemik bertukar suram, hasilnya pensyarah dan pelajar malas nak mengkaji dan membuat penyelidikan. Kemandulan akademik berlaku dan keghairahan pada ilmu pengetahuan luput.

Akhirnya, konsep sekolah – ikut sahaja, jangan soal, jangan fikir – telah menjangkiti ke peringkat universiti, maka kemaraulah budaya keilmuan kita.

Dengan itu, bahas dan debat dilihat sebagai satu hal yang negatif, soalan akan dianggap elemen provokasi, dan apa jua kegiatan akan dianggap melakukan perbuatan subversif dan menjadi ancaman.

Justeru, isu kekurangan pelajar (baca:Melayu) dalam jurusan sains hanyalah malapetaka kecil yang sedang menimpa anak-anak Malaysia akibat kecuaian pemimpin politik yang lalai membentuk dan melaksanakan dasar pendidikan sebenar.

Orang politik hanya pentingkan agenda politik mereka. Mendidik anak bangsa dengan betul bererti menjadikan anak bangsa bijak dan mampu berfikir sendiri dan berani mempersoalkan apa yang salah dan silap. Dan ini bertentangan dengan agenda politik kepimpinan negara hari ini.

Baucar buku 1Malaysia

Satu lagi petanda tenatnya sistem akademik kita ialah apabila kerajaan mengambil jalan mudah dengan memberi baucar buku 1Malaysia. Seolah-olah mahu menutup kelemahan dengan menawarkan wang ringgit.

Kita tidak menyalahkan pemberian baucar itu. Tetapi ia nampak sangat sikap terdesak kerajaan yang dilihat seperti sudah tidak tahu lagi apa nak dibuat. Ibarat kata, seseorang yang sedang tenat dengan sakit jantung, diberi pula minyak angin.

Apabila minat untuk menuntut ilmu itu padam, minat untuk membaca juga turut padam. Bila diberi baucar buku, maka inilah jadinya. Semakin kerap didengar tentang baucar itu yang digunakan untuk membeli novel remaja, majalah hiburan dan apa-apa sahaja yang tidak ada kena-mengena dengan pengajian akademik; malah ada yang menjual baucar.

Terdapat satu laporan media: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang menjual dan melelong Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) termasuk menerusi laman web boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun, selain denda dan sebat – Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid.

Satu lagi bukti pentadbiran tipikal kerajaan – ugut nak ambil tindakan.  Nak menyalah, menghukum dan memenjarakan pelajar memang cukup mudah, lebih-lebih lagi pada mereka yang ada kuasa.

Tetapi adakah ia berbaloi? Adakah, selepas didakwa dan dihukum maka minat pelajar ini akan berubah? Tiba-tiba ambil aliran sains dan terus berjaya, begitukah modus operandinya?

Kebebasan akademik

Punca masalah dan prestasi pelajar berkait rapat dengan orientasi pendidikan di semua peringkat, khususnya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Asas kepada semua pendidikan dalam semua bidang adalah bagaimana kita nak mengasuh otak (fikiran) agar berupaya berfikir secara kritis dan rasional.

Akal menjadi penentu atas segala macam pertimbangan. Justeru, akal perlu dibebaskan untuk berlaku waras. Hasil dari akal yang kritis dan rasional inilah yang akan membentuk kreativiti dan inovasi, dalam apa jua bidang sekali pun. Dua elemen ini pula akan membentuk satu ruang kebebasan berakedemik.

Kebebasan akedemik bukanlah hanya memberi makna kebebasan untuk berhimpun atau menyertai apa jua organisasi politik, sebaliknya ia adalah kebebasan untuk memilih mata pelajaran, kaedah pelajaran dan pembelajaran serta usaha melahirkan budaya wacana, wahana, debat, bahas dan mempersoalkan status quo.

Contohnya, pernahkah kita mendengar pelajar berdemonstarsi dengan menuntut universiti atau kerajaan mewujudkan sekolah falsafah di universiti?

Pernahkah kita mendengar pensyarah menuntut pihak pentadbiran untuk mengkaji dan berbahas tentang Ibnu Arabi, Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Confucius, Aristotle, Plato, John Locke, Descartes, Karl Marx atau perbandingan antara agama dan budaya, atau apa-apa sahaja yang selama ini dianggap kononnya bertentangan dengan ideologi kerajaan semasa?

Memang baik apabila mahasiswa berani berhimpun untuk menuntut hak tetapi jika sekadar mahu berdemo untuk berorganisasi atau berpolitik, ia adalah sesuatu yang amat malang.

Ia tidak memadai untuk menjawab persoalan besar secara tuntas. Tidak salah untuk orang muda menjadi idealis tetapi langkahnya terlalu abstrak, tidak cukup praktis dan tidak transcendental.

Autonomi

Begitu juga cadangan  Khaled Nordin untuk memberi autonomi kepada universiti-universiti awam. Seperti mana sikap memberi baucar buku, autonomi itu tidak memberi banyak makna jika AUKU terus wujud.

Buktinya telah lama ada. Apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal pada 1960, kerajaan memberi jaminan kebebasan kepada rakyat termasuk pejuang demokrasi dan hak asasi. Namun, jaminan itu hanya janji palsu kerana beribu-ribu orang telah menjadi mangsa kezaliman tahanan tanpa bicara ISA.

Kita rasakan autonomi yang ditawarkan itu tidak memadai untuk menyelesaikan krisis sistem pendidikan kita. Sekali lagi, ia sekadar ‘minyak angin untuk penyakit kronik’. Jelasnya isu di sebalik semua gejala-gejala ini harus kembali kepada blueprint, falsafah dan melihat semula pendekatan yang sedang kita amalkan hari ini.

Perlu ada satu perubahan besar yang menyeluruh untuk mencapai matlamat reformasi pendidikan sebenar. – Roketkini.com

Recommended Posts