
Kadang-kadang, dalam menguruskan kewangan negara, bukan semua bantuan perlu datang terus daripada bajet kerajaan. Inisiatif terbaharu Kementerian Pengangkutan (MOT) membuktikan perkara ini.
Dengan menggunakan hasil bidaan nombor plat khas, sesuatu yang selalunya hanya diminati golongan berada, sebanyak RM3.5 juta berjaya dikumpulkan untuk menampung caruman perlindungan sosial 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah aktif di seluruh negara.
Kalau dibandingkan dengan tahun lalu, jumlah ini meningkat hampir tiga kali ganda. Pada 2024, MOT hanya menyalurkan RM1.165 juta, itupun dengan formula 10% ditanggung kementerian dan baki 90% ditaja kerajaan melalui PERKESO.
Tahun ini, model itu diperluas sehingga lebih ramai pemandu dapat dilindungi. Sasarannya jelas iaitu 35,000 pemandu teksi/kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan pendekatan kreatif ini: “Dalam belanjawan tahunan kita, tiada pun item ini (peruntukan Lindung Kendiri) tetapi kita fikirkan cara untuk tampung yang mana wang hasil penjualan bidaan nombor plat kenderaan istimewa diguna untuk tujuan ini.”
Kata-kata ini merumuskan falsafah bijak yang jarang kita lihat yang mana bantuan untuk golongan bawah tanpa menjejaskan bajet kerajaan.
Untuk rekod, sebelum ini inisiatif nombor plat khas ini pernah menjadi bahan kritikan. Sejak awal, Anthony Loke sering diejek sebagai “Menteri Nombor Plat” kerana menyelia siri khas seperti GOLD, FF, M_M, dan MADANI melalui JPJ.
Namun, realitinya, hasil bidaan inilah yang kini mengalir kembali untuk membantu golongan pekerja jalanan.
Dari satu sudut, pendekatan ini memang ‘win-win’. Orang kaya yang mahu nombor cantik sanggup belanja besar, manakala hasilnya mengalir kepada perlindungan sosial pekerja jalanan yang berdepan risiko setiap hari.
Inilah bentuk solidariti tidak langsung yang mungkin ramai tak sedar wujud.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini wajar dijadikan contoh untuk sektor lain. Gunakan kreativiti fiskal, alihkan kos daripada bahu kerajaan, dan dalam masa sama pastikan perlindungan untuk golongan pekerja rentan tidak terabai.
Jika model ini diperluas, Malaysia boleh melangkah ke depan sebagai negara yang inovatif dalam memadukan kehendak pasaran dengan keperluan sosial.