Kempen Misi Bantuan Banjir untuk Kedah, Kelantan & Terengganu oleh DAP Pulau Pinang tanda solidariti dan kasih sayang

dappg 241207 0347 scaled

Jawatankuasa DAP Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma dan sukarelawan yang telah memberikan sokongan padu dalam Misi Bantuan Banjir DAP untuk Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Sejak dari awal pelancaran sehingga kini, DAP Pulau Pinang telah menerima kutipan sumbangan yang sangat memberangsangkan daripada semua pihak tanpa mengira kaum & agama, yang menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia bersatu padu dalam usaha ingin membantu mereka yang terjejas daripada bencana yang berlaku.

Selain daripada bahan makanan dan kegunaan harian, kami juga telah menerima 101 periuk nasi, 500 bantal, 500 tilam, 2204 kain linen, 1200 tuala, 9000 biji telur dan 200,000 botol air minuman. Semua barangan telah dimuatkan dalam 3 buah lori kontena bersaiz 20 kaki dan satu bersaiz 40 kaki dengan keseluruhan muatan barangan 100 tan.

Jumlah kutipan sumbangan tunai adalah sebanyak RM 98,107.11. Memandangkan akan berlaku gelombang banjir kedua, maka sumbangan ini akan digunakan secara berfasa untuk bantuan banjir. Untuk fasa pertama, kami akan salurkan RM20,000 kepada setiap negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000. Baki selebihnya akan digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja bantuan pasca banjir, dan jika berlaku banjir gelombang kedua.

Semua sumbangan akan dihantar ke kawasan terjejas pada 7 Disember 2024 melalui kerjasama dengan rangkaian sukarelawan tempatan dan rakan strategik DAP Pulau Pinang. Kami berharap bantuan ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir yang sedang dalam fasa pemulihan daripada bencana banjir ini.

Sementara itu, dana tunai yang diterima akan digunakan untuk memenuhi keperluan tambahan seperti pembelian barang-barang kritikal dan logistik penghantaran.

Jawatankuasa DAP Pulau Pinang sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan membantu dalam misi ini, terutamanya Malaysian Association of Hotels (Penang Chapter), Sinkung Group, Puyuh Mutiara, Sin Hock Soon Group dan Infinity (sila rujuk Lampiran A untuk senarai penuh).

Kepedulian anda adalah bukti semangat solidariti dan kasih sayang rakyat Malaysia yang amat berharga.

Steven Sim Chee Keong
Pengerusi DAP Pulau Pinang

Recommended Posts