Kenyataan Mengenai Cadangan Pensijilan Halal

459103950 513535957932063 5922571368624578463 n

Pensijilan Wajib tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak selaras dengan konsep MADANI
Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan di Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak mengkaji langkah ini sebagai usaha memastikan kualiti dan kepatuhan kepada syarat halal dipatuhi, demi kepentingan pengguna Muslim.

Namun, saya ingin menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan isu perkauman. Perbincangan mengenai pensijilan halal perlu dijalankan secara matang dan rasional, dan adalah tidak adil untuk mewajibkan pensijilan halal ke atas peniaga, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Prinsip pilihan sukarela perlu dihormati, terutamanya dalam sektor perniagaan di mana kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran adalah penting.

Lebih penting lagi, cadangan ini sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kabinet sebelum sebarang pengumuman dibuat secara terbuka oleh menteri.

Kegagalan untuk melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam perbincangan awal hanya menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan yang tidak perlu.

Saya juga berpendapat bahawa siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok, hanya kerana beliau menyuarakan kebimbangan yang sah adalah tidak adil malah merupakan tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang.
Adalah penting untuk memastikan hak wakil rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka dihormati dalam sistem demokrasi.

Kami akan berdiri teguh menyokong YB Teresa Kok dalam mempertahankan hak beliau untuk bersuara dan hak semua wakil rakyat untuk bersuara.

Selain itu, saya kecewa dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang lebih cenderung mengapikan sentimen kebencian tanpa menyumbang kepada penyelesaian yang konstruktif.

Kenyataannya tidak menawarkan sebarang hujah yang bernas, sebaliknya hanya memburukkan keadaan. Tambahan pula, Dr Muhamad Akmal telah berdiam diri dalam isu-isu kritikal lain seperti pelaksanaan ‘DNS re-routing’ oleh kerajaan, yang boleh menjejaskan privasi rakyat.

Ketidakhadirannya dalam isu tersebut menimbulkan persoalan mengenai keutamaan beliau dalam mempertahankan hak-hak rakyat.

Saya menyeru supaya semua pihak mengambil pendekatan yang lebih matang dan terbuka dalam membincangkan soal-soal penting yang melibatkan industri F&B yang mempunyai impak terus kepada soal ekonomi dengan mempertimbangkan kesan terhadap pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mencetuskan ketegangan antara kaum.

Perbincangan menyeluruh dan dialog yang jujur di peringkat kerajaan dan masyarakat perlu dilakukan untuk mencapai penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

Thulsi Manogaran
ADUN Buntong

Recommended Posts