Kenyataan seksis tak menghairankan, tradisi gasar Umno

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Tiada apa yang menghairankan dengan kenyataan seksis peguam Umno Mohd Hafarizam Harun berhubung kelayakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim sebagai Menteri Besar, kerana ia hanya mengikut ‘tradisi’ gasar parti itu.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, kenyataan Hafarizam itu adalah bahasa harian digunakan ahli politik Umno kepada rakan politik, kroni perniagaan malah kepada sesiapa sahaja.

“Kenapa ada yang masih terkejut dengan ucapan bodoh dan meloyakan pemimpin Umno dan sekutu mereka? Kalau bukan seksis, ia biasanya sesuatu yang tidak wajar tentang kaum, agama, malah sejarah dunia.

“Dan Hafarizam adalah individu terbaru yang menyertai senarai panjang orang bahlul dalam parti itu,” katanya sinis.

Dalam masa sama, kata Teresa, pemimpin Umno mencemarkan wacana awam dengan bahasa kasar dan pemikiran kotor mereka.

Beliau mengulas kenyataan Hafarizam dalam wawancara bersama New Straits Times semalam bahawa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor dengan alasan tidak dapat mengiringi Sultan dalam acara keagamaan ketika ‘haid’.

Ahli Parlimen Seputeh itu turut bersetuju dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bahawa kenyataan itu ‘terpacul’ daripada Hafarizam kerana takut kemungkinan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dibatalkan jika Wan Azizah menjadi MB.

Hafarizam adalah pengarah syarikat Zabima Engineering Construction Sdn Bhd dan Emrail Sdn Bhd, antara pemegang saham utama dalam Kidex Sdn Bhd.

“Beliau kini menyertai ahli politik Umno yang muncul sebagai penyokong kuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Perlu diingat, beliau (Hafarizam) adalah pemegang saham dalam syarikat yang mendapat projek Kidex.

“Dapat difahami mengapa beliau cuba sedaya mungkin memadamkan peluang Khalid diturunkan daripada jawatannya – kerana wang berjuta-juta ringgit menjadi pertaruhan,” kata Teresa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyebut bahawa beliay dapat bekerjasama dengan Khalid, manakala Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula berharap Khalid dapat meneruskan tugasnya itu. – Roketkini.com

Recommended Posts