Kenyataan Timbalan Presiden Gerakan membuktikan Perikatan Nasional mengamalkan politik perpecahan

08a10ac8 7005 46b5 97d1 fd659d4023db

1. Semalam, didedahkan di media sosial bahawa Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong telah mengkritik Parti Tindakan Demokratik (DAP) kerana tidak mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. Kritikan ini timbul apabila Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Sdr Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sejak tertubuhnya Kerajaan Madani.

3. Ini jelas membuktikan bahawa DAP menjunjung perkara-perkara asas Perlembagaan, termasuklah Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan. Pada masa yang sama, DAP juga sentiasa di hadapan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum dan komuniti lain seperti juga yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Ini telah berkali-kali dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin DAP, dan dizahirkan juga dalam ketetapan-ketetapan dalam persidangan parti.

Contohnya, ketetapan dalam Persidangan Parti DAP 2023 telah mengukuhkan komitmen parti seperti dinyatakan dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu. Maka jelas bahawa pendirian DAP tentang perkara-perkara asas dalam Perlembagaan ini tidak wajar dipersoalkan lagi.

5. Pada masa yang sama, tindakan parti Gerakan melalui Timbalan Presidennya menunjukkan bahawa parti itu sendiri mempunyai masalah dengan kedudukan istimewa orang Melayu sehingga sanggup membidas DAP kerana tidak mempersoalkannya. Di samping itu, jelas bahawa Timbalan Presiden Gerakan ini hanya mahu membakar sentimen masyarakat Cina kerana hanya mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina sahaja.

6. Apakah pula pendirian rakan-rakan Gerakan dalam Perikatan Nasional iaitu PAS dan Bersatu mengenai kenyataan Oh ini? Pemimpin-pemimpin PAS dan Bersatu, yang kononnya mempertahankan hak Melayu dan orang Islam, nampak gayanya
diam membisu sahaja setakat ini seperti tiada reaksi. Adakah mereka juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Gerakan ini?

7. Perikatan Nasional jelas mengamalkan dasar pecah dan perintah yang mana PAS dan Bersatu membakar sentimen masyarakat Melayu manakala Gerakan pula membakar sentimen masyarakat Cina. Politik perpecahan yang diamalkan oleh Perikatan Nasional ini memberi kesan negatif terhadap penyatuan masyarakat Malaysia dan
pembinaan negara bangsa.

8. Perikatan Nasional diseru untuk meninggalkan politik lapuk dan toksik ini dan bersama-sama dengan parti-parti dalam Kerajaan Madani membina semula negara.

Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi

Recommended Posts