Kenyataan Wee Ka Siong amat menghasut; kuasa Yang di-Pertuan Agong harus dipelihara dan dihormati

Saya merujuk kepada berita yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, iaitu: “Jika DAP percaya bahawa YDPA tidak patut mempunyai keputusan muktamad dalam hal pengampunan, mereka sepatutnya mencadangkan usul di Parlimen untuk meminda Perlembagaan dan sama ada mengehadkan atau menghapuskan kuasa pengampunan YDPA.”

Kenyataan Wee, pada pandangan saya, adalah amat menghasut. Kuasa pengampunan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebahagian daripada sistem Raja Berperlembagaan, iaitu asas penting dalam struktur pentadbiran negara kita.

Sekiranya kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh pemimpin politik lain, sudah tentu laporan polis akan dibuat secara besar-besaran di seluruh negara. Situasi ini dengan jelas menunjukkan bahawa kenyataan Wee sebagai tidak wajar, sensitif, dan boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Oleh yang demikian, saya mendesak agar beliau segera menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Pahang (selaku Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh Januari 2019- Januari 2024) atas keterlanjuran tersebut.

Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Wee harus menunjukkan teladan yang baik dengan menghormati institusi Diraja serta memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat serta keamanan negara.

Terima kasih,
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts