Keputusan ‘Landmark’ Mahkamah Rayuan Memerlukan Pertimbangan Semula Kerajaan Mengenai Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia

whatsapp image 2025 08 19 at 16.03.26
  1. Hari ini, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia adalah sekatan yang tidak berperlembagaan (unconstitutional) kerana ia bercanggah dengan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Cabaran undang-undang ini di bawa oleh aktivis Heidy Quah di bawah Seksyen tersebut, sebelum pindaan yang telah dibuat tahun lepas.

  1. Dalam erti kata lain, keputusan ini secara natijahnya memutuskan bahawa kesalahan menghantar komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain adalah tidak berperlembagaan.

  1. Keputusan ini adalah suatu kejayaan yang dinanti-nantikan selepas perjuangan bertahun-tahun yang dibawa oleh para aktivis dan peguam hak asasi manusia sebelum ini untuk mendapatkan suatu keputusan mengenai kesalahan ini.

  1. Sudah sekian lama, banyak pihak menyatakan bahawa kesalahan ini adalah terlalu luas, menjenayahkan ekspresi atas talian tanpa had dan boleh disalahgunakan untuk tujuan politik. Kita pernah menyaksikan bagaimana kesalahan di bawah Seksyen 233 ini dijadikan alat untuk membungkam suara rakyat. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan kelemahan yang ada dalam Seksyen tersebut.

  1. Keputusan ini juga menunjukkan bahawa pindaan yang dibuat terhadap Seksyen 233 Akta tersebut tahun lepas, yang di bawa oleh Kerajaan MADANI dan kini berkuatkuasa, adalah langkah yang bukan sahaja tepat, tetapi diperlukan untuk sedikit sebanyak mengatasi kelemahan yang ada dalam undang-undang. Ia membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk menambahbaik undang-undang dan memastikan ianya mengimbangi keperluan untuk mewujudkan persekitaran selamat atas talian dan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

  1. Untuk rekod, perkataan ‘jelik sifatnya’ kini berbunyi ‘jelik melampau sifatnya’ dalam Seksyen 233 tersebut, dan Huraian 6 dalam Seksyen 233 juga memberi panduan mengenai ‘jelik melampau’. Dengan ini, mana-mana tertuduh yang dituduh di bawah Seksyen selepas pindaan mempunyai ruang membela diri yang lebih jelas berbanding sebelum ini.

  1. Walaupun Kerajaan MADANI telah membuat penambahbaikan terhadap Seksyen 233 ini, namun ada baiknya sekiranya pihak Kerajaan melihat semula keperluan Seksyen tersebut, termasuk mengeluarkan terus elemen jelik dan menyakitkan hati, selepas keputusan ‘landmark’ Mahkamah Rayuan ini. Pertimbangan ini wajar dibuat selepas mendapat maklumbalas daripada Pejabat Peguam Negara.

  1. Dalam masa yang sama, pihak Peguam Negara juga harus meneliti semula semua pendakwaan yang masih berjalan di bawah Seksyen 233 sebelum pindaan, untuk menentukan apa jalan yang terbaik untuk memberi makna kepada keputusan Mahkamah Rayuan ini.

Syahredzan Johan

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP

Ahli Parlimen Bangi

Recommended Posts