
Kerajaan Madani bakal memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan pekerja terus dilindungi, termasuk di luar waktu pejabat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucaptama di Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 menegaskan bahawa kemalangan dan kecederaan tidak pernah mengenal masa.
Oleh itu, perlindungan sosial mesti diluaskan mengikut realiti kehidupan moden.
“Dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara hidup serta cara orang bekerja pada masa kini,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai anjakan besar dalam dasar keselamatan sosial negara. Selama ini, perlindungan sering terikat dengan waktu kerja rasmi, sedangkan hakikatnya risiko menimpa pekerja boleh berlaku ketika perjalanan pulang, tugasan luar pejabat atau bahkan dalam suasana kerja dari rumah.
Dengan SKBBK, pekerja akan menikmati perlindungan sepanjang 24 jam, tujuh hari seminggu.
Kementerian Sumber Manusia sebelum ini juga menyatakan sedang merangka pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, pindaan itu bertujuan memastikan pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ia menunjukkan negara tidak lagi melihat pekerja hanya sebagai angka produktiviti, sebaliknya sebagai manusia yang martabatnya perlu dipelihara.
Perlindungan sepanjang masa ialah pelaburan sosial yang mengurangkan risiko keluarga terhimpit, majikan terbeban dan kerajaan terpaksa menanggung kos kecemasan.