Di Bawah Kerajaan Madani, Eksport Produk Sawit Malaysia Meningkat 15% Ke Seluruh Dunia

52b5517d dc61 446d 9866 6332c0b0637d

Industri sawit Malaysia terus mencatatkan kejayaan membanggakan di bawah kepimpinan Kerajaan Malaysia Madani.

Terbaru, laporan menunjukkan bahawa pada tahun 2024, negara telah mengeksport sebanyak 26.66 juta tan produk berasaskan sawit ke seluruh dunia, peningkatan sebanyak 15.1% berbanding tahun sebelumnya. Ini bukan sahaja menyumbang RM109.3 bilion kepada pendapatan eksport negara, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam sektor ini.

Pasaran utama termasuk India, China, Kesatuan Eropah, Kenya dan Turkiye, menunjukkan keyakinan global terhadap kualiti produk sawit kita.

Namun, di sebalik angka-angka memberangsangkan ini, kejayaan Malaysia tidak hanya diukur dari segi ekonomi. Ia juga tertumpu kepada prinsip kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sejak 2019, Malaysia telah meletakkan had maksimum kawasan tanaman sawit pada 6.5 juta hektar sebagai komitmen terhadap dasar sifar pembalakan. Keputusan ini bukan mudah, tetapi ia mencerminkan keberanian untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan tidak merosakkan warisan alam sekitar negara.

Dengan kawasan tanaman yang dihadkan, tumpuan kini beralih kepada usaha penjanaan semula dan peningkatan produktiviti. Justeru, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan hasil tanpa perlu membuka kawasan baharu.

Salah satu inisiatif utama ialah Skim Pembiayaan Insentif Penanaman Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) yang diumumkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin dalam kenyataannya di FB, “Salah satu inisiatif utama ialah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) berjumlah RM100 juta, yang menyasarkan penanaman semula sebanyak 5,900 hektar setiap tahun dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 pekebun kecil di seluruh negara.”

Pendekatan ini jelas menunjukkan bahawa di bawah Kerajaan Madani, kejayaan ekonomi tidak dicapai dengan mengorbankan prinsip kelestarian. Sebaliknya, ia dibina atas dasar inovasi, tanggungjawab sosial dan pemerkasaan pekebun kecil.

Masa depan industri sawit Malaysia tidak lagi hanya bergantung kepada keluasan ladang, tetapi pada keberkesanan dasar, kekuatan teknologi dan keupayaan untuk mendepani cabaran global. Setakat ini, Malaysia berada di landasan yang tepat, hasil daripada kepimpinan yang cekap dan berwibawa.

Recommended Posts