Kerajaan perkenal bidang pengajian kenderaan elektrik di Kolej Vokasional

whatsapp image 2023 10 11 at 2.42.56 pm (2)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan bidang pengajian berkaitan industri kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong dasar Automotif Nasional untuk memacu penggunaan EV di Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, Kolej Vokasional (KV) Pengerang Johor akan memulakan pengajian EV iaitu Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) pada tahun 2026.

Katanya, perancangan prabina sedang dilakukan bagi memastikan kursus yang bakal ditawar dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

“Elemen Teknologi Automotif Hibrid dan EV serta Teknologi Robotik diterap dalam kurikulum di 53 buah KV yang menawarkan program Teknologi Automotif yang pada ketika ini memang berupaya untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hui Ying berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan tentang perancangan KPM untuk menambah bilangan kolej vokasional yang akan menawarkan kursus kemahiran dalam industri EV.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa KPM juga komited memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KPM relevan dengan pekerjaan masa hadapan dengan memastikan kandungan kurikulum bagi program diploma yang ditawarkan di KV diberi nilai tambah teknologi terkini.

“Contoh, smart farming dan internet of things (IoT) dalam bidang pertanian yang diintegrasi melalui latihan amali bagi program pertanian di lima kolej vokasional pertanian menawarkan program pertanian seperti KV Teluk Intan, Perak, KV Chenor, Pahang, KV Pasir Puteh, Kelantan, KV Dato’ Lela Maharaja,Negeri Sembilan dan KV Lahad Datu, Sabah.

“Elemen IoT dan kecerdasan buatan (AI) juga diterap dalam kurikulum di 23 buah KV yang menawarkan program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian melalui pelaksanaan Sistem Rumah Pintar,” katanya.

Recommended Posts