Saya menggesa pihak kerajaan untuk meneliti semula garis panduan bantuan bencana bagi memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan tanpa diskriminasi, tidak kira sama ada mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau kekal di kediaman masing-masing.
Dalam perbahasan Kamar Khas ke atas usul yang dibawa oleh YB Chiew Choon Man, Ahli Parlimen Miri di Dewan Rakyat, saya telah membangkitkan beberapa persoalan berkaitan pengagihan bantuan wang ehsan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Saya menghargai peruntukan RM25 juta yang diumumkan kerajaan untuk membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak, namun terdapat kekeliruan dalam proses pemberian bantuan ini.
Bencana akibat hujan berpanjangan bukan sekadar menyebabkan banjir, tetapi juga tanah runtuh dan pokok tumbang yang mengancam nyawa serta keselamatan rakyat.
Malangnya, mangsa yang rumah mereka retak atau berisiko roboh akibat tanah runtuh serta mereka yang rumahnya rosak kerana dihempap pokok tidak layak menerima bantuan atas alasan kerosakan tersebut bersifat peribadi.
Saya mempersoalkan dasar ini kerana bencana alam adalah kejadian di luar kawalan individu, dan mereka yang terkesan sepatutnya dibantu tanpa syarat yang tidak munasabah.
Selain itu, saya juga meminta kerajaan menjelaskan sama ada bantuan NADMA hanya diperuntukkan kepada mangsa yang dipindahkan ke PPS.
Di kawasan luar bandar, ramai mangsa enggan berpindah kerana bimbang akan kecurian harta benda mereka. Justeru, mereka yang memilih untuk kekal di rumah tetapi tetap mengalami kerosakan dan kerugian akibat banjir juga wajar dibantu.
Saya turut membangkitkan isu banjir kilat yang sering dinafikan status sebagai bencana di bawah Arahan NADMA No. 1. Hakikatnya, banjir kilat boleh menyebabkan kemusnahan besar dan menjejaskan kehidupan ramai rakyat. Saya meminta kerajaan untuk mengkaji semula dasar ini agar semua bentuk bencana, termasuk banjir kilat, diambil kira dalam pemberian bantuan.
Saya berharap kerajaan mengambil langkah segera untuk memperbaiki sistem bantuan bencana supaya lebih adil dan menyeluruh. Setiap mangsa berhak mendapat pembelaan tanpa mengira lokasi atau jenis bencana yang menimpa mereka.
Mordi Bimol
Ahli Parlimen Mas Gading