Walaupun kini berada dalam gabungan baharu iaitu Kerajaan Perpaduan, usaha Pakatan Harapan untuk perangi rasuah adalah sangat konsisten.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengenalan kepada perundangan baharu antara 10 inisiatif yang dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam dokumen pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, NACS yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) itu akan mengikut kesesuaian dan selaras dengan dasar semasa kerajaan.
Jelasnya, pembangunan NACS akan mempertimbangkan pelbagai aspek dalam usaha memerangi rasuah secara komprehensif, termasuk melihat trend semasa, mengambil kira dapatan penyelidikan dalam dan luar negara selain pandangan pelbagai pihak termasuk pihak berkepentingan.
Beliau berkata, sehingga suku kedua tahun ini sebanyak 68 daripada 111 inisiatif NACP telah siap dilaksanakan.
“Penyiapan ini adalah di peringkat output oleh Ketua-Ketua Agensi Peneraju yang telah ditetapkan dalam dokumen NACP. Buat masa ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kekal memantau pelaksanaan inisiatif NACP sehingga tamat pelaksanaannya menjelang Disember 2023.
“Kerajaan melalui SPRM optimis penyiapan inisiatif NACP yang berbaki dapat dilaksanakan oleh Ketua Agensi Peneraju dan menjangkakan 91 peratus penyiapan inisiatif menjelang hujung tahun,” katanya ketika menjawab soalan di Parlimen.
Sementara itu, Ramkarpal menerangkan bahawa usaha ini penting bagi memastikan sasaran kerajaan untuk berada dalam kalangan tangga 25 terbaik CPI (Indeks Persepsi Rasuah) dalam tempoh 10 tahun yang akan datang tercapai.
“CPI bukan sekadar melibatkan tangkapan dan pendakwaan rasuah, ia turut melibatkan pengukuhan demokrasi, keazaman politik, hak asasi manusia, daya saing ekonomi, penguatkuasaan serta amalan tatakelola baik,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia pernah mencapai kedudukan CPI terbaik dalam tempoh 25 tahun semasa pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, iaitu berada di kedudukan ke-61 pada tahun 2018 dan meningkat ke kedudukan ke-51 pada tahun 2019. Selepas berlakunya rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton, CPI Malaysia kembali menurun ke kedudukan ke-57 pada tahun 2020 di bawah pemerintahan Perikatan Nasional.