Malaysia menyeru negara pengeksport utama beras dalam ASEAN agar mengutamakan bekalan makanan ruji itu kepada negara anggotanya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam sesi perbincangan dua hala dengan negara-negara anggota pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45 yang sedang berlangsung.
“Mungkin di sesi bilateral kita akan bangkitkan isu ini, kita nak mengeratkan lagi hubungan antara dua negara supaya meletakkan keutamaan mengeksport beras kepada negara-negara ASEAN. Perbincangan mungkin dengan Thailand ataupun Vietnam,” katanya dilaporkan Bernama.
Dalam perkara berkaitan, Chan yang mempengerusikan Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) berkata, semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Isnin lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelaksanaan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh Chan.
OP BPT melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Pelaksanaan Operasi Bersepadu BPT ini adalah bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang seperti tukar kampit beras tempatan kepada import, mencampurkan beras tempatan dan import serta membanteras aktiviti sorok beras,” katanya.