Kerajaan Pulau Pinang Angkat Martabat Guru Tadika Islam. Elaun Dinaikkan RM1,400 Sebulan

elaun guru penang
Dalam politik Malaysia, terlalu kerap kita melihat naratif hitam-putih yang disuap kepada rakyat. Di satu sisi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP digambarkan anti-Islam, kononnya tidak peduli kepada institusi pendidikan Islam. Namun realitinya, tatkala pelbagai tohmahan terus dilemparkan, negeri ini diam-diam bekerja dan kini terbukti mengangkat martabat para guru Tadika Islam dengan tindakan konkrit dan berprinsip.
Mulai bulan ini, elaun guru Tadika Islam Pulau Pinang (TADIS) dinaikkan sebanyak RM400, menjadikan jumlah yang diterima mereka RM1,400 sebulan, manakala pembantu tadika pula menerima kenaikan RM200, menjadikan elaun bulanan mereka RM1,000. Ia mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi kepada para pendidik anak-anak kecil dalam bidang agama, ini satu pengiktirafan yang besar dan bermakna.
Kenaikan ini bukan datang dengan sekadar pengumuman populis. Ia datang dengan rancangan jangka panjang yang jelas termasuk penjenamaan semula Tadika Islam Mutiara MADANI (TIMM), sasaran pembukaan 30 tadika baharu tahun ini, dan peruntukan sebanyak RM10.7 juta untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Ini bukan setakat menjaga kebajikan guru, malah memperkukuh masa depan pendidikan Islam di Pulau Pinang.
Untuk rekod, sebelum ini pernah didakwa bahawa terdapat guru PASTI yang menerima hanya RM500 sebulan. Bukan sahaja bawah paras gaji minimum, bahkan tiada caruman KWSP, tiada faedah pencen dan tiada perlindungan insurans pekerjaan. Yang lebih malang, gaji ini bergantung kepada yuran ibu bapa dan tidak selaras dari satu kawasan ke kawasan lain.
Apakah ini wajah sebenar perjuangan Islam yang diwar-warkan? Islam mengajar keadilan dan penghargaan kepada guru dan para murabbi yang membentuk sahsiah dan akidah anak-anak. Namun bila guru diperah tenaganya tanpa jaminan sosial, itu bukan perjuangan. Itu penganiayaan.
Justeru, tindakan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP ini membuka mata bahawa menjaga Islam tidak semestinya datang dari parti yang menggunakan label Islam. Ia datang daripada dasar, keikhlasan dan kesungguhan.

Recommended Posts