KETIKA negara terumbang-ambing dengan kemelut tiada kesudahan, ada agamawan bersungguh-sungguh melaungkan ‘hanya Islam jalan penyelesaian’, ‘kembalilah pada Islam’ dan bermacam-macam lagi ungkapan retorik keagamaan.
Kata-kata itu hanyalah ungkapan kosong dan kabur dari sudut implementasi. Pengertian Islam ringkasnya ialah menyerah diri kepada Allah swt. Jadi, bagaimana ‘kembali pada Islam’ itu berdiri dan bergerak?
Mudah jika ungkapan itu ialah kata-kata magis yang apabila si pengungkap menyebutnya, semua perkara terus menjadi seperti ‘menurut Islam’ secara automatis. Hakikatnya tidak begitu. Hakikatnya ‘kembali pada Islam’ tidak berlaku jika tidak mendefinisinya dan tidak berusaha ke arahnya.
Tidak kurang juga yang menyalahkan liberalisme dan pluralisme kerana berlakunya jenayah kejam. Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil cuba mencari kaitan antara liberalisme dan pluralisme dengan kegiatan jenayah tapi hampa.
Jenayah adalah jenayah, apakah pula kaitan dengan liberalisme dan pluralisme? Mereka alergi dengan perkataan itu tanpa mengetahui makna kedua-dua perkataan berkenaan. Mereka hanya tahu apa-apa –ism semuanya tidak betul kerana yang betul hanyalah Islam.
Sekali lagi mereka terperangkap dalam ungkapan sendiri. Cara Islam itu bagaimana? Adakah melalui kuasa politik ataupun pendidikan?
Islam dan label
Saya langsung tidak bersetuju dengan usaha meletak label Islam pada sesuatu tetapi hakikatnya pengisiannya langsung tidak ‘Islami’. Label seperti ekonomi Islam, politik Islam dan sebagainya adalah kerangka luar ataupun kosmetik.
Umpama memberi label pada botol air mineral. Jika label pada botol adalah air mineral tetapi isi kandungannya air oren, apakah kita menganggapnya air mineral? Tentu tidak kerana yang paling penting bukan label tetapi isi kandungannya.
Benar, Islam berkait rapat dengan diri seseorang Melayu Muslim. Kerana ada akar agama dalam diri seseorang Melayu Muslim. Maka tidak hairanlah kita cepat bertingkah jika agama dicuit. Ada sahaja demonstrasi, membakar kitab agama lain dan sebagainya yang bersifat provokasi. Soalnya, adakah provokasi ajaran Islam?
Kerana agama ada kaitan rapat, maka mudahlah orang-orang berkepentingan memperguna agama untuk meraih populariti dan keuntungan dunia. Lambakan produk berlabel agama tetapi dijual dengan harga tinggi dapat dilihat di kiosk atau pasar raya. Air mineral yang sepatutnya RM1.50 dijual pada harga RM10 hanya kerana ia dibacan ayat suci al-Quran.
Saya menggeleng-geleng kepala. Lihatlah bagaimana agama diperguna demi kepentingan diri.
Apabila ada yang melaung, kita harus melaksanakan ‘ekonomi Islam’ ataupun ‘politik Islam’, kita harus fokus pada intipatinya. Sebab itulah saya kurang gemar apabila ada ahli politik yang cuba meletak label Islam pada semua perkara. Mungkin kerana lebih mementingkan intipati, saya berasa tidak mengapa jika tiada label Islam sekalipun.
Tentu sahaja pendapat itu tidak mudah dipersetujui. Label Islam harus diletak untuk membezakan ekonomi atau politik Islam. Saya biasanya tersenyum sahaja mendengar hal sebegini. Kerangka luar tentulah lebih penting daripada intipatinya.
Polemik Hudud
Ada pihak tidak senang duduk selagi negara tidak melaksanakan hukuman syariah seperti hudud dan qisas. Bagi mereka, sesebuah negara dianggap ‘tidak Islami’ selagi hudud dan qisas tidak diterap. Saya tidak bersetuju dalam hal ini.
Sama ada sesebuah negara itu ‘Islami’ atau tidak bukan terletak pada namanya tetapi pada pengisiannya. Boleh jadi, Finland yang diiktiraf sebagai negara terbaik di dunia dari sudut pembelajaran lebih ‘Islami’ daripada negara berlabel Islam.
Ataupun, boleh jadi Belanda juga lebih ‘Islami’ kerana menutup lapan penjara di negara itu kerana kadar jenayahnya kurang. Bandingkan dengan negara berlabel Islam seperti Arab Saudi dan Afghanistan. Kedua-duanya melaksanakan hukuman syariah yang menjadi idaman parti politik agama di negara kita, adakah sesuatu dapat kita belajar daripada mereka?
Tentulah. Daripada mereka, kita belajar bahawa hukuman Tuhan boleh menjadi tidak adil jika ia tidak dilaksanakan secara adil. Sampai tahap ini, bukan lagi salah sesuatu hukuman tetapi salah badan pelaksana.
Sama ada adil atau tidak pelaksanaan, semuanya bergantung pada pelaksana. Tanya mereka, atau setidak-tidaknya pada diri sendiri – adakah kita boleh melaksanakan hukuman syariah dengan seadil-adilnya tanpa diskriminasi?
Adakah hukuman syariah yang dikatakan boleh bergerak dalam sistem demokrasi negara kita?
Dalam temu ramah Al-Jazeera bersama Dr Yusuf al-Qardhawi pada 2011, beliau meletakkan beberapa pra-syarat sebelum hudud dan qisas dilaksanakan.
Pertama, beri makan kepada orang yang lapar. Bermaksud ekonomi yang stabil tanpa kemiskinan. Kedua, sediakan pekerjaan kepada penganggur. Ketiga, orang-orang jahil diberi ilmu pengetahuan dan diajar. Keempat, latih pekerja dengan ilmu.
Adakah semua pra-syarat itu sudah dipenuhi? Jawapannya tepuk dada tanyalah selera.
Islam dan Perlembagaan
Saya berada dalam bidang perundangan. Meskipun telinga saya sering ditebuk dengan kata-kata: “Baguslah jadi peguam, nanti boleh perjuang hukuman syariah.”
Saya katakan tidak. Tidak berniat untuk memperjuang hukuman syariah kerana lebih selesa dengan sistem sekarang. Sistem yang tidak sempurna dan tiada label agama tetapi masih boleh diperbaiki.
Ada tokoh cerdik pandai Islam lebih suka menggunakan terma Maqasid Syariah iaitu objektif Syariah. Saya lantas bersetuju. Yang berlaku hari ini ialah kegagalan kita mendefinisikan syariah.
Bagi sesetengah kita, Syariah hanyalah hukuman hudud dan qisas. Semata-mata hukuman.
Mengikut Prof Tariq Ramadan, syariah tidak semata-mata hukuman tetapi merangkumi pemahaman terhadap kehidupan dan kematian. Syariah menghormati kehormatan, integriti, kepelbagaian agama dalam masyarakat.
Hari ini kita menakut-nakutkan masyarakat yang sedia kala takut dengan ancaman potong tangan, rejam dan sebagainya. Secara tidak langsung, kita menggambarkan syariah sebagai sesuatu yang keras.
Syariah sewajarnya menjadi prinsip dinamik dan kaedah untuk mencapai visi yang lebih luas dalam bernegara.
Memetik kata Prof Tariq Ramadan dalam temuramah oleh Qantara.de: “When a German law is telling me that men and women are to treated equal before law sor that you get the same salary for the same work, this is Shariah for me.”
Kata-kata itu begitu membuka minda hingga meninggalkan persoalan pada diri saya – adakah Perlembagaan kita sebenarnya bersyariah?
* MS Nik adalah pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman dan berasal dari Perak.