Kerjasama Bukanlah Penyerahan

481180194 1197525305070416 274458837425907101 n

Kenyataan terkini oleh Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub, yang menggambarkan DAP sebagai “kuda liar” yang perlu dijinakkan, bukan sahaja tidak wajar — malah bersifat kontra produktif, terutamanya apabila mengambil kira realiti landskap politik negara pada masa ini.

“Hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama Umno dan ia semakin jinak dalam kandang BN-PH.” Kenyataan ini bukan sahaja memperlekehkan, malah mencerminkan salah faham yang serius terhadap maksud sebenar tadbir urus yang bertanggungjawab dan kerjasama berprinsip. Jika usaha merentas parti demi kestabilan dan pencapaian untuk negara dianggap sebagai “jinak”, maka persoalannya — apa sebenarnya yang kita martabatkan apabila kita hanya memerhati dari luar dan mencemuh?

DAP tidak wujud untuk memuaskan hati pihak yang masih berpegang kepada naratif lapuk. Kami adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan kerana rakyat Malaysia memilih perubahan — kurang perpecahan, lebih pencapaian. Pada hari ini, kekuatan tidak lagi diukur melalui laungan lantang dari bangku pembangkang, tetapi melalui keupayaan untuk mentadbir, bekerjasama, dan menyampaikan hasil kepada semua.

Kami tidak pernah meninggalkan idealisme kami — sebaliknya, kami membawanya ke dalam kerajaan, di mana kami dapat memperjuangkan reformasi yang benar-benar bermakna. Dan jika itu menggusarkan mereka yang bergantung kepada label dan perpecahan, maka terpulanglah. Melabel kami sebagai “jinak” hanya mendedahkan betapa dangkalnya pemahaman sesetengah pihak terhadap keberanian yang diperlukan untuk memimpin dalam waktu yang tidak menentu. Ini bukan penyerahan. Ini adalah tanggungjawab — dan terlalu sedikit yang sanggup memikulnya.

Malaysia hari ini ditadbir di bawah Kerajaan Perpaduan — sebuah gabungan yang dibina atas matlamat bersama, kompromi, dan akauntabiliti bersama. Setiap komponen, termasuk DAP dan UMNO, memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan keberkesanan pentadbiran ini. Maka apabila kenyataan seperti ini dikeluarkan secara terbuka, persoalan yang wajar ditanya ialah: siapa yang mendapat manfaat daripada naratif ini? Dan apa sebenarnya tujuan retorik sebegini?

Adakah matlamatnya untuk memperkukuh kerjasama — atau untuk melemahkannya?

Apabila ahli politik kembali menggunakan metafora seperti “kuda liar”, ia selalunya kerana mereka tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk ditawarkan. Daripada membincangkan perbezaan dasar secara substantif atau mencadangkan alternatif yang bermakna, mereka memilih untuk menggunakan label yang bertujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan.

Ironinya, mereka yang kini menyerang DAP tidak pernah keberatan untuk membentuk kerjasama apabila ia menguntungkan cita-cita mereka. Hari ini kononnya demi kepentingan negara, keesokan harinya pula kami digambarkan sebagai ancaman kepada kestabilan. Dwistandard sebegini seharusnya membimbangkan sesiapa sahaja yang percaya kepada kepimpinan yang ikhlas dan berprinsip.

Pendirian DAP sentiasa konsisten. Kami memperjuangkan tadbir urus yang bersih, ketelusan, reformasi institusi, dan sebuah masyarakat pelbagai kaum yang sebenar. Ini bukan pendirian radikal — ini adalah asas kepada sebuah demokrasi yang sihat. Dan jika itu dianggap “liar”, maka mungkin kita perlu menilai semula budaya politik yang sedang kita pertahankan.

Mencadangkan bahawa rakan gabungan perlu dikawal atau dijinakkan adalah satu langkah yang berbahaya. Ia menghakis asas sebenar politik gabungan, di mana kemajuan dicapai melalui perundingan dan keterlibatan, bukan melalui hierarki. Kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada kepelbagaian bangsanya, tetapi juga dalam kepelbagaian pandangan, suara, dan pengalaman.

Kita tidak akan mampu mara ke hadapan jika kita terus menuntut mereka yang berfikiran berbeza untuk berdiam diri. Kita berkembang apabila kita sudi mendengar — walaupun kadangkala ia tidak selesa.

Malaysia tidak dibina atas ketakutan. Ia dibina atas harapan bahawa pelbagai suara dapat bersatu dan tetap didengari. Kepimpinan sebenar tidak bergantung kepada kawalan — ia bergantung kepada kepercayaan. Ia tidak menolak yang lain ke tepi — ia membawa mereka bersama. Dan akhirnya, kekuatan negara kita tidak terletak pada sekuat mana kita menggenggam kuasa, tetapi pada keyakinan kita untuk melangkah ke hadapan bersama.

 

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA

Recommended Posts