Kes Saman Fitnah: Dr Mastura, Usah Jadikan Razman Contoh Tauladan

469700780 932034362242010 4018296918317317344 n

Saya menyarankan Ahli Parlimen Kepala Batas Dr. Siti Mastura Muhammad agar tidak mengikut jejak langkah Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menjadi “pemfitnah bersiri”.

Razman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol mempunyai rekod kalah saman fitnah sebanyak tiga kali sebelum ini kepada mantan Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Pengerusi Kebangsaan DAP Sdr. Lim Guan Eng, dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada 4 Disember 2024 yang lepas pula, beliau telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar dalam perbahasan sidang DUN hari Isnin.

Bagi menghindari nasib yang sama, saya menasihatkan Dr. Mastura supaya terus mengamalkan apa yang beliau ungkapkan baru-baru ini dengan meneliti dahulu fakta sebelum berucap. Ketika mengulas keputusan mahkamah supaya membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP, beliau telah berkata yang beliau akan meneliti dahulu penghakiman penuh sebelum membuat tindakan lanjut. Untuk konteks, Dr. Mastura telah diperintahkan untuk membayar RM300,000 kepada Sdr. Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Sdr. Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Sdri Teresa Kok setelah beliau kalah dalam kes saman fitnah yang dikenakan terhadapnya.

Sebagai pemimpin muda dan selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS, Dr. Mastura perlulah menjadi contoh buat orang ramai dengan menerajui usaha memerangi berita palsu. Bukannya menjadi wadah penyebar fitnah.

Raja Ahmad Iskandar Fareez
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan

Recommended Posts