Dalam lawatan Roketkini ke Pulau Pinang baru-baru ini, beberapa pimpinan utama DAP telah ditemui untuk mendengar buah fikiran mereka. Pandangan mereka berbeza-beza tetapi ia juga menjadi teladan kebebasan berpendapat yang diamalkan DAP dan Pakatan di Pulau Mutiara itu.
I
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemui di pusat khidmatnya di Jalan Kedah, Pulau Pinang, berkata, DAP bersama rakan dalam Pakatan lebih bersedia berbanding 2008 bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang pada bila-bila masa.
“Sebagai Pakatan, kita sentiasa berusaha untuk memenangi rakyat dengan pelbagai program dan aktiviti. Apa yang kita lakukan sepanjang tiga tahun ini adalah lebih bagus dari Barisan Nasional dahulu,” katanya.
Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjung menjelaskan antara program yang diberikan kerajaan negeri kepada rakyat adalah Skim Anak Emas, Rakan Anti-Kemiskinan, Skim Warga Emas selain memberikan peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak RM33.33 juta dan, peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat RM1.75 juta, kedua-duanya untuk tahun ini.
Selain itu terdapat skim kepada Ibu Tunggal dan Orang Kurang Upaya yang diberikan kepada mereka secara tahunan berjumlah RM100 setiap seorang.
Berhubung sokongan terhadap kerajaan Pakatan Pulau Pinang, Chow secara berseloroh berkata, Ketua Menteri Lim Guan Eng adalah lebih popular dari kerajaan sendiri.
“Tentunya kami gembira kerana sekurang-kurangnya beliau menjadi maskot kejayaan dan perpaduan rakyat di negeri ini. Bagi kami pula, terus berusaha gigih untuk menunaikan amanah kepada rakyat,” katanya.
Jelas beliau, sokongan rakyat Pulau Pinang pula tidak pernah menurun sejak kerajaan negeri memegang tampuk.
“Walau bagaimana pun, semua orang sedang memerhati langkah kerajaan negeri. Jadi, kita perlu sentiasa mengambil perhatian untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Berkaitan masyarakat Melayu di Pulau Pinang, jelas Chow, sokongan kepada kerajaan dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peratus, satu kejayaan yang baik kerana kaum ini sering diserang propaganda UMNO melalui akhbar harian dan TV kawalan BN serta ditakut-takutkan oleh golongan-golongan pelampau kaum.
“Bagaimana pun, peluang Pakatan Rakyat di Pulau Pinang untuk mengekalkan tampuk pimpinan negeri dalam PRU13 agaka baik. Saya boleh anggarkan, termasuk dari kalangan masyarakat Melayu dan India Muslim, Pakatan dapat menarik sokongan sekitar 80 hingga 85 peratus pengundi,” jelasnya yakin.
II
Di pejabat Kerajaan Negeri di Komtar, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy berkata, peluang Pakatan untuk mengekalkan kuasa dengan sokongan rakyat masih tinggi.
Bagaimana pun, katanya, Pakatan tidak boleh menganggap pilihan raya akan datang sebagai terlalu mudah serta jangan bersikap terlebih yakin dan angkuh.
“Kita harus lawan seperti kita hendak kalah. Kita mahu lawan seperti kita lawan pada 2008,” katanya, mengingatkan kepada kesungguhan DAP serta rakan-rakan yang berkempen habis-habisan sebagai underdog.
Tambah Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, perjuangan politik ada pasang surutnya dan beliau akan menerima hakikat jika terpaksa menghadapi kekalahan.
“Yang saya tahu saya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan kerap turun padang. Di pusat khidmat Parlimen saya, tiap-tiap orang datang mengadu masalah.
“Saya tidak takut kalah. Ini perkara biasa. Tetapi jika kita tidak bersungguh-sungguh melawan, kita akan benar-benar kalah,” jelasnya secara bersirat.
Bagi Ramasamy, tujuan utama Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang bukan hanya menumpu pada Pulau Pinang sahaja, tetapi berusaha meyakinkan rakyat untuk mendapatkan Putrajaya.
III
Exco Alam Sekitar, Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh pula berkata, semenjak DAP mengambil alih tampuk, perubahan terutamanya berkaitan masalah kemiskinan tegar telah dipulihkan.
Oleh kerana itu, beliau yakin rakyat Pulau Pinang bersama DAP dan Pakatan akan terus menghalang usaha BN dari mengambil kembali negeri yang mereka tidak jaga dengan baik itu sebelum 2008.
“Saya yakin rakyat mahu kita kekalkan pentadbiran. Dalam politik, apa-apa boleh berlaku.
“Kita tahu ramai yang mahukan lapan tuntutan Bersih 2.0, tetapi ada juga yang tidak mahukan. Bagaimana pun, selepas beberapa tempoh, makin ramai rakyat sedar dan mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Ini adalah salah satu perkembangan yang baik, terutamanya di Pulau Pinang,” katanya.
Phee yang juga Adun Sungai Puyu mengakui Pakatan di Pulau Pinang masih kurang pengalaman, tetapi dalam masa sama rakyat telah sedar akan peningkatan pengalaman dan keyakinan terhadap kerajaan negeri juga semakin melambung naik.
“Kita telah berikan banyak program kepada rakyat hanya dalam tiga tahun pemerintahan berbanding 50 tahun di Pulau Pinang,” katanya.
Bagaimana pun, ujarnya, DAP dan Pakatan perlu sentiasa menguatkan prinsip dan tidak lari dari konsep asas menjaga kepentingan rakyat.
“Kita sudah tentu tidak dapat memuaskan hati semua orang. Kita perlu kaji majoriti rakyat yang mendapat manfaat dari program-program kita.
“Apa yang penting, kita mesti sentiasa bersedia untuk sedikit kehilangan, demi mendapat kemenangan besar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kesedaran masyarakat Melayu Pulau Pinang terhadap kepimpinan Pakatan sudah meningkat walau pun masih kecil tahapnya kerana belum “mesra” dengan Pakatan.
“Memang ada penyokong yang hidup dan mati untuk UMNO. Walau pun pemimpin mereka tidak pedulikan mereka sangat tetapi mereka ini masih kuat di kawasan-kawasan kampung,” katanya.
Dalam masa yang sama, menurut pengamatan Phee, terdapat juga individu-individu Melayu yang percaya dan berani menyokong DAP.
“Bila dalam satu masyarakat, mereka tidak berani sokong. Mungkin segan dengan orang-orang Melayu sekeliling. Tetapi bila masuk buang undi nanti, kita yakin individu itu akan mengundi kita,” katanya yakin dengan alasan masyarakat Melayu banyak mendapat bantuan dari kerajaan Pakatan dan sedar akan perkara ini.
IV
Berlainan pula dengan pendapat Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng. Baginya, ahli DAP dan Pakatan harus sentiasa berhati-hati menjaga langkah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berpendapat, DAP dan Pakatan tidak harus memperlekehkan sebarang bahaya yang bakal mendatang.
“Kita harus sentiasa fikir akan adanya risiko, kerana di zaman sekarang, semua perkara boleh beubah dengan pantas. Seminggu boleh jadi satu perjalanan getir yang panjang.
“Jika fikir kita sudah selamat, kita tersilap, kerana kita sebenarnya menunggu bahaya. Jangan sama sekali mengambil sesuatu perkara itu dengan mudah,” katanya.
Menurutnya, semua pemimpin dan ahli komponen Pakatan harus sentiasa bersama rakyat pelbagai kaum untuk menjelaskan usaha kerajaan negeri menjaga kepentingan rakyat.
Katanya, Pakatan perlu menunjukkan sikap perpaduan dan persefahaman untuk terus menyakinkan rakyat supaya memberi mandat sekali lagi dalam PRU akan datang.
V
Dengan konsep Jalan Tengah Malaysia, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong mengambil pendekatan yang bersifat lemah lembut tetapi tajam berhubung keyakinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk mengekalkan kuasa.
“Berhenti bergaduh sesama sendiri, dan tumpukan pada kerja dan keuntungan kepada rakyat,” katanya.
Bagi Lydia yang juga Adun Berapit, rakyat adalah majikan.
“Hari ini mungkin rakyat boleh sokong kita, tetapi mereka juga suatu hari nanti boleh jatuhkan kita.
“Jadi, janganlah terlalu angkuh dan sentiasalah bersedia dengan segala cabaran dan sebarang kemungkinan,” katanya lemah lembut.
Lydia turut menjelaskan, hubungan kerajaan dengan golongan muda juga harus sentiasa diberikan keutamaan.
Beliau memberi contoh, ketika aktiviti yang dianjurkan golongan muda, beliau turut menari, menyanyi dan duduk bersila bersama mereka, berhibur sambil berbincang pelbagai isu.
“Inilah apa yang mereka mahukan, mereka mahukan kawan. Bukan ahli politik yang ‘di atas.’ Mereka mahukan kerajaan yang mesra dan bagus,” jelasnya yang aktif membantu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang.
Berhubung sokongan golongan muda, beliau sendiri terkejut dengan pelbagai NGO golongan muda yang aktif di Pulau Pinang.
“Ketika di sebuah seminar baru-baru ini, wakil-wakil mereka bercakap lantang tentang isu-isu semasa dan politik. Ini adalah perkembangan bagus,: katanya.
Jelas Lydia, golongan muda bukanlah bodoh dan lembam seperti yang sentiasa ditunjukkan BN selama ini.
“Mereka cerdik, mereka adalah generasi baru, sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui internet, dan sentiasa kritikal terhadap sebarang isu yang berbangkit di media.
“Apa yang saya bimbang ialah penduduk-penduduk seperti di kawasan Penaga dan Kepala Batas. Mereka sudah biasa dengan media seperti Utusan, TV3 dan RTM yang banyak menyiarkan berita bohong.
“Rakyat kita berhati murni tetapi jika mereka tidak mendapat maklumat yang benar dan tepat, mereka mudah terpedaya. Saya harap kita dalam Pakatan perlu menjelajah masuk kampong untuk memberi penerangan sebenar tentang keikhlasan usaha Pakatan di Pulau Pinang,” katanya.
Lydia juga berpendapat, Melayu harus diketengahkan dan DAP terutamanya perlu memberi peluang kepada calon Melayu yang berbakat dan layak pada PRU akan datang agar apa yang diperjuangkan DAP, iaitu parti pelbagai budaya dan kaum, benar-benar menjadi amalan.
Beliau menambah orang Melayu yang menerima prinsip keadilan sosial dan peluang saksama juga perlu tampil ke depan untuk bersama dengan DAP, kalau tidak pun dengan mana-mana parti komponen Pakatan.
Rumusan
Rata-rata pemimpin DAP – walau telah berjaya meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat, selain banyak membantu golongan-golongan yang sebelum ini terpinggir oleh BN – masih seperti dulu juga, rendah diri dan bersemangat dalam pelaksanaan gerak kerja.
Kesederhanaan pendirian ini bukan bererti tidak yakin tetapi ianya adalah satu sifat yang sentiasa ditonjolkan oleh pemimpin utama DAP dengan konsep Jalan Tengah Malaysia, seperti apa yang diperkenalkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Konvensyen Kebangsaan DAP ke-15 pada Januari 2010.
Jalan itu bermaksud penyertaan secara demokratik, hormat kepada kepelbagaian dan kemuliaan maruah manusia, memberikan peluang saksama, dan perlindungan daripada diskriminasi.
Oleh itu, adalah tidak hairan jika dilakukan tinjauan, rata-rata rakyat Pulau Pinang selesa dengan pemerintahan sekarang yang terkenal dengan urus tadbir cekap, akauntabel, dan telus (CAT) sehingga diiktiraf oleh Transparency International. – Roketkini.com