Ketua Hakim Negara Baharu Wajar Terus Mendukung Kebebasan Kehakiman, Mulakan Prosiding Berkait Salah Laku Hakim

469503618 1034959295310354 4243255495706535501 n
  1. Teka-teki siapa yang bakal menerajui pucuk pimpinan badan kehakiman akhirnya terjawab. Semalam, telah diumumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan. Pada masa yang sama, diumumkan juga Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi akan menggalas tugas sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
  2. Sudah tentu, terdapat pelbagai reaksi terhadap pengumuman ini, terutama sekali mengenai pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara. Reaksi ini timbul, antara lain, disebabkan beliau pernah sebelum ini terlibat dalam politik kepartian, serta dari aspek kekananan beliau berbanding hakim-hakim yang lain
  3. Datuk Wan Ahmad Farid pernah beberapa kali sebelum ini dalam menarik diri daripada mendengar kes-kes yang melibatkan konflik kepentingan dirinya dengan bekas partinya. Dalam alasan yang diberikan untuk menarik diri, Datuk Wan Ahmad Farid telah menekankan tentang betapa pentingnya kebebasan badan kehakiman. Rakyat Malaysia sudah tentu akan berpegang pada prinsip ini dan menjangkakan bahawa Ketua Hakim Negara yang baharu ini akan terus menarik diri daripada mendengar kes-kes yang mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti badan kehakiman yang diterajuinya.
  4. Pada masa yang sama, Datuk Wan Ahmad Farid juga wajar untuk memulakan prosiding yang relevan mengikut undang-undang terhadap dakwaan salah laku mana-mana hakim, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan juga Judges’ Code of Ethics 2009, susulan apa yang disebut sebagai kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Ini penting untuk memulihkan keyakinan umum terhadap institusi kehakiman yang sedikit tercalar mutakhir ini.
  5. Besar harapan rakyat bahawa Datuk Wan Ahmad Farid dapat meneruskan legasi kepimpinan mantan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam memastikan bahawa badan kehakiman akan terus bebas daripada campur tangan pihak luar.
  6. Kenyataan Datuk Wan Ahmad Farid pada tahun 2017 semasa beliau menjadi Pesuruhjaya Kehakiman akan diulang-ulang sebagai peringatan dan pedoman; “The independence of the judiciary must be defended at any cost”.

Syahredzan Johan

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP / Ahli Parlimen Bangi

Recommended Posts