
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sekali lagi mengangkat nama Malaysia di pentas global.
Kali ini melalui pengiktirafan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dan keberanian negara memperkenalkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025.
Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo, dalam ucapannya di Kuala Lumpur, menyifatkan Sim sebagai “antara menteri buruh paling dinamik dan berwawasan di rantau ini”, sambil memuji komitmen Malaysia dalam memperkasakan tenaga kerja masa depan.
“Inovasi teknologi, kecerdasan buatan, peralihan hijau dan digital sedang mengubah cara kita bekerja, belajar dan menghasilkan sesuatu,” katanya
Namun, di sebalik forum antarabangsa itu, pujian terhadap Malaysia bukan semata-mata kerana kata-kata indah.
Ia berakar daripada tindakan nyata melalui Akta Pekerja Gig 2025, undang-undang pertama seumpamanya di rantau ini yang melindungi lebih 1.2 juta rakyat Malaysia dalam ekonomi gig.
ILO memuji langkah ini sebagai bukti keberanian Malaysia memecah tradisi, sementara Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, menegaskan bahawa ILO kagum dengan bagaimana kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja bekerjasama dalam rangka kerja tiga pihak yang kukuh.
Pengiktirafan itu turut menyusul selepas ILO melihat pendekatan Sim yang tidak sekadar berucap di podium tetapi turun padang, melawat 34 kesatuan dalam tempoh 22 bulan, mendengar sendiri rintihan pekerja dari pelbagai lapisan.
Ia menjadikan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah pimpinannya bukan sahaja lebih responsif, tetapi juga dihormati di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini menggambarkan lonjakan paradigma dalam dasar buruh Malaysia, dari sekadar reaktif kepada proaktif, dari hanya melindungi pekerjaan formal kepada membela mereka yang bergantung hidup pada aplikasi dan platform digital.
Di tengah-tengah pengiktirafan dunia ini, jelas bahawa nama Malaysia kini disebut bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai pencetus perubahan global dalam perlindungan tenaga kerja.



