
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin digesa agar tidak berlengah lagi dan segera memberikan penjelasan mengenai jumlah kematian akibat Covid-19 yang begitu tinggi.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, September adalah bulan dengan kes kematian paling tinggi disaksikan negara dengan hampir 10,000 kes.
Tambahnya lagi, kira-kira 73% daripada jumlah keseluruhan korban Covid-19 dalam negara berlaku pada bulan Ogos dan September tahun ini.
“Apa yang lagi membimbangkan adalah, kematian dalam bulan September ini adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan Ogos,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, katanya, sebanyak 9,550 kematian akibat Covid-19 berlaku dalam 31 hari pertama Khairy menjadi menteri kesihatan.
“Khairy perlu menjelaskan, apakah yang sedang dilakukan untuk menurunkan peningkatan mendadak kematian akibat Covid-19 ini.
“Atau adakah kita perlu menjangkakan 10,000 lagi kematian dalam bulan Oktober?” soal pemimpin veteran DAP itu.
Berikut adalah garis kematian kematian akibat Covid-19 di Malaysia yang amat membimbangkan:
17.3.2020 – kematian Covid-19 pertama
31.8.2020 – 127 kematian
16.9.2020 – 128 kematian
31.12.2020 – 471 kematian
11.1.2021 – 555 kematian (Darurat diisytiharkan)
31.1.2021 – 760 kematian
28.2.2021 -1,130 kematian
31.3.2021 -1,272 kematian
30.4.2021 – 1,506 kematian
31.5.2021 – 2.796 kematian
30.6.2021 – 5,170 kematian
31.7.2021 – 9,024 kematian
31.8.2021 – 16,664 kematian
29.9.2021 – 26,142 kematian — Roketkini.com