
KUALA LUMPUR, 20 JUN: Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap rakyat Selangor, malah terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP) sendiri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lau Weng San.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan sepatutnya meningkatkan kecekapan dan penggunaan pengangkutan awam dalam menangani kesesakan di Lembah Klang, seperti dinyatakan dalam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), bukannya membina lebuhraya yang mahal.
“Sangat menyedihkan apabila kerajaan Persekutuan menandatangani perjanjian konsesi dengan KIDEX yang mengkhianati inisiatif GTP mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mempertahankan projek kontroversi itu, kononnya untuk menampung kawasan yang tidak memiliki keretapi.
Menurut Lau, orang ramai, terutama penduduk Petaling Jaya, meragui kenyataan itu yang sama sekali bertentangan dengan komitmen dilaungkan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
“Mungkin saya perlu mengingatkan Timbalan Menteri tentang NKRA di bawah GTP untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam. Malah, NKRA ini diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan sendiri.
“Maka tentulah kenyataan beliau sukar untuk diterima. Apa yang diperlukan oleh Lembah Klang yang sesak dengan kenderaan adalah pengangkutan awam. Dengan kata lain, lebih banyak bas dan sistem transit dengan kekerapan tinggi serta lebih berkesan,” katanya lagi.
Beliau turut memetik laman Unit Pengurusan dan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu) yang menyatakan jumlah kenderaan persendirian di Kuala Lumpur akan terus meningkat menjelang 2020 jika tiada sistem pengangkutan awam yang mapan.
Berbeza dengan lebuhraya antara-bandar
Dalam pada itu beliau berkata, KIDEX yang merentasi bahagian tengah Lembah Klang sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan projek lebuhraya yang menghubungkan antara bandar, seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (Latar) yang siap pada tahun 2011.
“Lebuhraya seperti Latar sangat diperlukan untuk menggantikan jalan bandar. Sebab itu wakil rakyat Pakatan dan penduduk Selangor tidak membantah apabila kerajaan Persekutuan memulakan projek itu.
“Begitu juga apabila kerajaan mengumumkan rancangan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting. Ia tidak dibantah kerana kita percaya lebuhraya itu akan mengurangkan kesesakan di sepanjang jalan Persekutuan Klang-Sabak Bernam serta meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di sepanjang pesisir pantai Selangor.
“Namun, berbeza dengan KIDEX serta lebuhraya lain yang merentas kawasan-kawasan utama Lembah Klang. Lebuhraya sebegini hanya menyebabkan penambahan kenderaan persendirian sekaligus bertentangan dengan objektif meningkatkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya lagi. – Roketkini.com