Kisah ini belum boleh dikatakan lama. Berlakunya beberapa minggu sudah terbentuk jawatankuasa muhibbah antara kaum yang terdiri daripada wakil-wakil tiap-tiap kaum. Kira-kira tahun 1949, begitulah.
Jawatankuasa muhibbah itu ialah untuk menjadikan satu rupa bangsa. Di antara penduduk-penduduk di Malaya ini yang bertujuan membawa pemuda-pemudi ke dalam satu rujukan hidup dengan perasaan kebangsaan Malayan.
Pekerja-pekerja sepejabat dengan saya juga terdiri daripada kaum-kaum jawatankuasa muhibbah itu, iaitu Melayu, Cina dan India. Mary Mon, Gadis Cina dan Marapathi, gadis India adalah wanita- wanita pejabat saya itu.
Suasana pejabat saya sederhana saja setiap hari rasanya perkauman tidak langsung terdapat di antara kami semua. Gembira, meriah dan ramah-tamah adalah suasana yang sentiasa merangkum dalam pergaulan kami.
Tidak malu saya katakan terus terang, saya ada menaruh hati pada Mary Mon, gadis Cina itu. Tidak pula kurang sopan kalau saya sebutkan bahawa Marapathi, gadis India yang kulitnya lebih hitam daripada saya itu ada menaruh perasaan pula kepada saya. Begitulah hal kami beberapa lama.
Suatu kali – pada hari minggu – kami beramai-ramai pergi berkelah. Sungguh seronok hari itu. Makanan-makanan kami bawa roti dan sardin.
Berkejar-kejar di pantai yang berpasir putih. Mary Mon, Marapathi, Zahrah, Halimah, Ainon dan beberapa wanita lagi mencari-cari siput.
Sambil itu mereka bergurau senda. Segala kelakuan gadis-gadis antara kaum itu semuanya menarik hati belaka. Begitu juga hal kami lelakinya. Wong, Lim, Narasamy, Kamal, saya dan lain-lain berkejar-kejar macam anak-anak kecil bergurau senda, tertawa terbahak-bahak. Semuanya sederhana tetapi gembira dan ramah mesra.
Ya! Bukankah telah saya katakan tadi di jiwa kami, semua tidak ada sedikit pun perasaan perkauman. Kami mandi beramai-ramai. Suatu peristiwa yang memanjangkan kisah ini terjadi; Marapathi lemas.
Malangnya banyak di antara kawan lelaki saya itu tidak tahu berenang, kecuali saya dan Kamal. Kerana saya yang lebih hampir kepada Marapathi sewaktu dia lemas, kewajipan saya lah untuk menolong dia.
Marapathi tertolong. Tetapi hampir-hampir saya juga ikut tenggelam sewaktu mendatangi gadis India berdalih ‘samar-samar itu memeluk saya kuat-kuat, nafasnya tercungap-cungap tidak teratur, telah banyak menelan air masin.
***
Pada mulanya saya tidak percaya dengan kata Kamal pada suatu kali sedang dengannya duduk di kedai kopi setelah seminggu daripada kejadian lemas Marapathi.
“Aku nampak benar Mary Mon… kau tatkala menggendong Marapathi setelah…. selamatkan dari lemasnya.
“Buah dada Marapathi menikam dada kau yang tidak berlapik apa-apa itu agaknya menjadikan Mary Mon cemburu,” kata Kamal tersenyum dan menampar bahu aku.
Memang benar hal itu. Saya teringat bagaimana saya memeluk dan menggendong Marapathi dengan rambut terhurai membawa ke tepi pantai dan senam-senamkan dia mengeluarkan air masin yang banyak ditelannya.
Kalau benar Mary Mon cemburu, bererti dia kasih kepada saya.
Bukankah cemburu itu tanda kasih?
***
Fikiran-fikiran untuk menghapuskan rasa perkauman di antara penduduk di Malaya itu semakin banyak diserukan dengan mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada pihak pemerintah.
Perpaduan di antara penduduk-penduduk Malaya – bagi pendapat- pendapat banyak orang – ialah untuk mempercepatkan Malaya berkerajaan sendiri dan pendapat lain ialah untuk menghapuskan suasana darurat di Malaya. mana yang benar nanti tidaklah dapat diramal sekarang dengan tepat atau mungkin kedua-duanya benar.
Kegiatan untuk menjadikan penduduk-penduduk Malaya satu rupa bangsa semakin menjalar dengan terbitnya penyata-penyata jawatankuasa Band (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Melayu) dan Fen Woo (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Cina) yang mencadangkan dasar pelajaran yang diarahkan untuk membentuk satu rupa bangsa.
Kenangan dan perasaan saya pada Mary Mon juga semakin kuat menjalar dan saya tahu benar mary Mon, gadis Cina yang mempunyai perawakan ‘Melayu’ itu tidak menaruh perasaan perkauman.
Kalau jadi persatuan saya dengan Mary Mon, apakah titisan darah kami berdua yang menjadi satu itu dapat melahirkan seorang anak yang betul-betul berjiwa dan berperasaan kebangsaan ‘Malayan’?
Mary Mon menyambut cinta saya. Kami saling mencinta.
***
Bertambah-tambah rapat lagi kemesraan dalam pergaulan saya kerana kami kebanyakannya ambil kursus bahasa Inggeris di sebelah malam.
Cuma sebuah sahaja yang kurang setuju di hati saya iaitu Mary Mon, Marapathi, halimah, Ainon dan boleh dikatakan semua gadis yang ambil kursus itu memakai pakaian yang seperti mahu pergi temasya atau menonton wayang (merah-merah bibir dan pipi, pakai minyak wangi Santaliah yang menyebabkan penuntut-penuntut di situ lebih menghafalkan kecantikan gadis-gadis itu dari pelajarannya. Minyak Santaliah juga sering mengganggu ketenteraman hidung di kelas itu).
Kalau sekolah-sekolah di Malaya ini dapat merupakan dasarnya seperti kelas kursus kita ini, rasa perkauman lebih cepat lagi dapat dihapuskan. Sikap beza membeza tidak akan ada lagi di antara penduduk-penduduk ‘Malaya’, kata Mary Mon kepada saya sewaktu kami berjalan pulang dari kursus malam.
(Kami bercakap-cakap dalam bahasa Inggeris)
“Salah pihak kerajaan juga yang mahu mengadakan sekolah Melayu untuk orang Melayu, Cina untuk Cina dan India untuk India.”
“Aku sangat setuju dengan penyata Band yang mencadangkan ‘Sekolah Kebangsaan’ bagi menggantikan sekolah perkauman yang ada sekarang di mana kanak-kanak dari segala bangsa akan dapat bersama-sama belajar dalam suasana ramah mesra di dalam satu tempat.”
“Adakah kau suka kalau penduduk-penduduk di Malaya ini dijadikan satu rupa bangsa dengan kebangsaan ‘Malayan’, Mon?”
“Tentu sekali. Kan aku diperanakkan di malaya dan aku adalah warganegara Malaya? Apa lagi…”
“Kau hendak berkahwin dengan pemuda Melayu?” kata saya mengusiknya. “Bukan, tetapi pemuda ‘Malayan’.” Dia mencium saya dengan pandangannya. Nyata benar matanya yang tenang membasah itu memancarkan kilat kasih sayang ke muka saya.
***
Suatu hari saya tulis surat pada Mary Mon. Begini bunyinya: (dalam bahasa Inggeris)
Sudah lama kita bergaul dan keadaan dirimu lebih banyak saya ketahui dari gadis-gadis Melayu lain seperti Halimah, Zahrah atau Ainon.
Walaupun tidak kau katakan terus terang. Pasti aku mengerti kau mencintai aku, Mon. Memang banyak persesuaian antara kita berdua dan ini menjadikan perhubungan batin kita bertambah kukuh.
Aku sangat menghargai fikiranmu yang menghendaki segala kaum di malaya ini bersatu padu menjadi satu rupa bangsa – satu kebangsaan Malayan – hidup saling beramah mesra menuju satu kerajaan bersendiri – Malaya merdeka.
Tentang pelajaran kebangsaan seperti yang kita bincangkan tempoh hari itu menjadi perhatian besar bagiku. Kau juga agaknya tentu begitu.
Dalam mencapai cita-cita Malaya merdeka, persatuan dan perpaduan penduduk-penduduk Malaya yang mempunyai bermacam-macam bangsa, agama dan kebudayaan menjadi satu rupa bangsa – Malayan – yang bekerjasama dan berbantu-bantu menjadi syarat atau tujuan utama.
Mary Mon,
Kalau semua sekolah-sekolah perkauman yang ada di Malaya sekarang dihapuskan dan gantinya adakan ‘Sekolah Kebangsaan,’ di mana kanak-kanak dari semua bangsa akan dapat bersama-sama belajar dengan tidak ada rasa beza membeza – aku Cina, aku Melayu atau India – maka usaha menyatupadukan penduduk-penduduk Malaya kepada satu rupa bangsa akan tercapai dalam tempoh singkat.
Kita sekarang – dalam cita-cita menuju Malaya merdeka – haruslah membuang semangat perkauman yang berlebih-lebihan. Kerana ini adalah menjadi satu batu penarung terhadap cita-cita Malaya merdeka.
Bagi diri saya tidak akan ada apa-apa yang dapat diberikan untuk perjuangan malaya menuju kemerdekaan. Tetapi jika rasa sanggup membuang semangat perkauman yang berlebih-lebihan bagi diri tiap -tiap orang dan tiap-tiap kaum itu dikatakan satu derma bakti kepada perjuangan itu, maka saya dapat kosongkan dada membuangkan perasaan itu untuk memenuhi isi kemerdekaan kita.
Sesungguhnya saya tidak mengetahui dengan betul apakah kita (orang-orang) yang memperjuangkan kemerdekaan itu akan sanggup pula – kelak – mempertahankan kedaulatan kemerdekaan itu?
Sekarang kau telah mengaku menjadi warganegara Malaya. Malah kau telah sanggup berkahwin dengan pemuda ‘Malayan’ – kalau pemuda itu, saya yang kau pilih, maka saya mengatakan “Kau akan menjadi wanita agung.”
Soal agama dan kebudayaan akan kita bicarakan nanti, tentu tidak ada pertentangan, asal kau dan aku mempunyai rasa bertolak ansur.
***
Kami pada akhirnya telah membicarakan soal yang selalu menjadi benteng yang kukuh mencegah perhubungan antara saya seorang Melayu dengan seorang Cina.
Angin petang yang lembut itu kadang-kadang melayangkan anak-anak rambut Mary Mon menyapu dahi dan hidung saya bila sewaktu-waktu kepala kami berdekat-dekat sejarak beberapa inci.
***
Marapathi gadis India yang kulitnya ‘samar-samar’ itu telah tahu juga pada akhirnya saya dan Mary Mon bercinta-cintaan. Gadis India itu kadang-kadang keadaannya lebih tua dari umurnya bila sewaktu-waktu dia menunjukkan sikap benci dan marah kepada pergaulan saya dengan gadis Cina itu.
Menurut perkiraan Marapathi – agaknya – saya lebih sesuai dengan dia kerana kulit kami hampir-hampir ‘sepasang.’ Tetapi saya berkehendak dalam mencari isteri – selain yang berkenan di hati – maunya biarlah kulitnya putih supaya anak saya kelak tidak jadi hitam. Sikap saya ini kalau diketahui oleh Marapathi tentu dia marah benar, kerana hati saya menyerupai Doktor Daniel Malan, Perdana Menteri Afrika Selatan yang bermati-mati mengadakan perbezaan kulit di negerinya.
Tetapi kalau dapat Marapathi masuk memandang di dalam perut saya dia akan menemui benci dan marah kepada sikap yang serupa itu dan kalau saya berada di negeri Afrika Selatan, dia akan melihat saya dapat memasuki penjara kerana menentang perbezaan kulit. (Khabarnya penjara di Afrika Selatan hampir-hampir penuh dengan mereka-mereka yang menentang dasar kerajaan Malan itu.)
Pada hakikatnya hubungan saya dengan gadis Cina itu atas dasar cinta (hubungan ini diperkukuh pula oleh rasa perpaduan antara kaum yang menjalar di jiwa saya dan dia) tetapi belumlah membawa erti apa-apa kalau untuk dipertalikan dengan cita-cita satu rupa bangsa – Malayan – di Malaya ini, apa lagi untuk menuju Malaya merdeka tetapi oleh kerana peristiwa seorang pemuda Melayu (seperti saya) bercinta dengan seorang wanita Cina (seperti Mary Mon) terlalu jarang kejadiannya, apalagi kedua-dua (saya dan dia) sama-sama dipertalikan oleh rasa ingin menjadi satu rupa bangsa dengan corak kebangsaannya ‘Malayan’ saya anggap kejadian ini sebagai satu ‘perintis jalan’ untuk menuju Malaya merdeka.
Saya kira tentu tidak ada orang akan menghantar protes terhadap saya dalam keadaan serupa ini dan bulan hadapan pertunangan saya dengan Mary Mon akan dirasmikan dengan suatu upacara yang sederhana.
1952
*Tongkat Warrant adalah nama pena Sasterawan Negara Usman Awang
Dari Usman Awang: Turunnya Sebuah Bendera – UA Enterprises, 2007