Kuala Kubu Bharu (KKB) merupakan suatu pekan yang bersejarah. Mengikut sejarahnya, dahulu Kuala Kubu dikenali sebagai Ulu Selangor. Ia merupakan sebuah pekan perlombongan yang terkenal di Selangor kerana kaya dengan hasil bijih timah. Kewujudan penempatan di sini lebih awal dari terbentuknya negeri Selangor.
Perjalanan menaiki motosikal ke KKB memakan masa hampir dua jam, manakala satu jam setengah jika menaiki kereta. Itu belum termasuk lagi tambahan minit dek kesesakan lalu lintas di lebuh raya Utara-Selatan. Kawasan KKB merupakan sebuah kawasan yang unik. Ia adalah kawasan separa luar bandar.
Jadi, tidak hairanlah jika ramai anak-anak di KKB terdapat banyak kekangan akses terhadap pelbagai kemudahan, khususnya pendidikan. Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengadakan Klinik Bola Sepak yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk memberi pendidikan asas bermain bola.
Ini merupakan salah satu inisiatif KBS untuk turun ke komuniti dan mendekati serta mencungkil bakat di peringkat akar umbi. Lebih daripada 300 kanak-kanak menghadiri sesi latihan ini. Bukan itu sahaja, selain menyediakan kelas asas secara percuma dan terbuka kepada sesiapa untuk menyertainya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri turut padang dan menyampaikan hadiah sebiji bola kepada setiap peserta program.
Ia mungkin sesuatu yang ramai di antara kita memandang remeh tetapi ia mungkin adalah yang berharga bagi sesetengah orang. Ada orang kampung yang susah sehinggakan tidak mampu untuk membeli sebiji bola sekali pun, apatah lagi nak mendaftar dalam kelas bola yang sudah tentu memakan kos yang agak tinggi. Jadi, dengan adanya inisiatif yang dilakukan oleh KBS ini dapat membantu dan menggalakkan lagi minat anak-anak cilik ini terhadap sukan bola sepak.
“Kalau ada kanak-kanak yang minat dengan bola sepak tapi tidak mampu beli bola untuk mengasah bakatnya, semoga dengan adanya bola ini, mereka boleh bermain dan berlatih sepanjang masa.
Mana tahu, mungkin salah seorang daripada mereka ini yang akan memakai lencana di dada #DemiMalaysia dan mengharumkan nama negara kelak,” kata Hannah Yeoh dalam satu hantaran Facebooknya.
Minggu lalu, program yang sama juga telah dianjurkan di Parlimen Bangi dengan kerjasama Kelab Bolasepak Junior Bangi (KBJB) dan ia ternyata program komuniti anjuran KBS ini mendapat sokongan yang memberansangkan. Baru-baru ini juga Klinik Bola Sepak ini diadakan di Puchong dan Sekinchan dan ia akan diteruskan di negeri-negeri lain.