Koc wanita MRT Laluan Kajang: Fasa percubaan bermula hujung September

mrt women coach

Setelah mengumumkan inisiatif pelaksanaan koc wanita untuk MRT Laluan Kajang pada bulan Julai 2023, fasa percubaan operasi koc wanita untuk perkhidmatan MRT tersebut akan dimulakan pada hujung bulan September ini. 

Pada 6 September yang lalu, Rapid KL melalui ciapan profil X (dahulunya Twitter) rasmi tersebut telah mengumumkan kerja-kerja pemasangan pelekat dan pengujian operasi koc wanita di laluan tersebut yang akan mengambil masa sehingga 17 September. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa inisiatif yang dilancarkan ini adalah antara usaha yang akan diambil untuk menangani kesulitan yang dihadapi wanita ketika menaiki MRT terutamanya pada waktu puncak.

“Pengguna pengangkutan awam terutamanya wanita ada kebimbangan keselamatan dan tidak berasa selesa kalau berpusu-pusu ke dalam satu gerabak bimbang diganggu dan sebagainya.” ulas Anthony. 

“Dari segi jarak, penumpang sangat sempit dan kadang-kadang ada sentuhan fizikal antara satu sama lain.”

“Memang tiada ruang langsung dan faham ketidakselesaan. Sebab itu kita kenalkan koc wanita untuk pastikan keselesaan dan keselamatan mereka.’ kata Anthony Loke ketika ditanya pemberita selepas Kongres Kebangsaan Wanita DAP pada 9 September 2023.

Recommended Posts