Kor Ming serah peruntukan RM150,000 untuk Masjid An Naim, Teluk Intan

Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming menyerahkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Masjid An Naim, Teluk Intan, hari ini

Peruntukan tersebut adalah untuk menampung kos membaik pulih dan menaik taraf masjid tersebut, kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Sumbangan itu juga katanya, membuktikan bahawa segala tuduhan jahat yang dilemparkan pembangkang terhadap DAP adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“DAP adalah parti yang mesra Islam dan komited untuk memperjuangkan perpaduan nasional pelbagai kaum termasuk membela hak dan kebajikan masyarakat Islam.

“Sebagai wakil rakyat Teluk Intan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang meluluskan peruntukan khas tersebut dengan serta-merta.

“Hal ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan cukup prihatin tentang kebajikan rakyat dan komited untuk menjaga kebajikan dan membela nasib semua kaum khususnya tempat ibadat agama Islam yang merupakan agama Persekutuan,” katanya yang juga Pengerusi DAP Perak.

Oktober tahun lalu, Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menyerah peruntukan berjumlah RM1.6 juta untuk Masjid At-Taqwa di Kampung Padang Tembak, Teluk Intan bagi bagi kerja pembaikan. – Roketkini.com

Recommended Posts