KPKT Capai 89% sasaran atau 443,259 Unit Pelaksanaan Rumah Mampu Milik (RMM) Sehingga September 2024

752c0ea7 e225 4e65 8e4a 00a48acc7ed9

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mencapai penyediaan sebanyak 89% daripada sasaran dibawah RMK-12, iaitu 443,259 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara sehingga 30 September 2024.

“Kerajaan Madani sentiasa fokus dan memberi komitmen berterusan untuk memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal, sama ada melalui pemilikan atau sewaan (shelter for all),” kata Menteri Sdr Nga Kor Ming di parlimen hari ini.

Menurut beliau yang juga Pengerusi DAP Perak, kerajaan telah menetapkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik dibawah RMK-12 dan kini 27% atau 135,173 unit daripada pelaksanaan RMM telah siap, 43% atau 213,094 unit sedang dalam pembinaan, dan 19% atau 94,992 unit berada dalam peringkat perancangan menjadikan jumlah unit rumah mampu milik mencapai 443,259 unit.

“Kita yakin KPKT akan dapat mencapai penyediaan baki RMM sebanyak 56,741 unit (11%) pada penghujung pelaksanaan RMK ke-12 iaitu pada 31hb Disember, 2025.”

Pada masa yang sama, Kor Ming juga menyatakan bahawa Kerajaan Madani terus komited untuk meneruskan pelaksanaan Home Ownership Campaign 2.0 sehingga 31 Disember 2025 supaya mudah cara utk rakyat memiliki rumah idaman mereka.

Di bawah inisiatif ini, pembeli rumah pertama akan diberikan pengecualian duti setem 100% ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan bagi kediaman bernilai RM500,000 ke bawah.

“Dalam Belanjawan 2025, kerajaan MADANI juga telah memperuntukkan RM900 juta untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR),” tambah beliau.

“Kerajaan juga telah menyediakan insentif tambahan bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, termasuk pelepasan cukai individu ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan sebanyak RM7,000 untuk perjanjian jual beli yang ditandatangani dlm tempoh 3 tahun mulai 1hb Januari, 2025,” kata Kor Ming.

“KPKT akan terus giat mengkaji dan meneroka pelbagai inisiatif serta penyelesaian untuk memastikan kesejahteraan ekonomi dan sosial dapat diseimbangkan dan ini termasuk dasar perumahan negara 2.0,” tegas beliau.

Menurut Belanjawan 2025, pelepasan cukai sehingga RM7,000 diberikan bagi rumah kediaman bernilai sehingga RM500,000. Bagi rumah kediaman yang melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pelepasan cukai yang diberikan adalah sehingga RM5,000.

Pelepasan ini boleh dituntut untuk tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Recommended Posts