Oleh Ghafar NS
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (KPKT) digesa untuk percepat kerja tambahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig.
Adun Kapayan, Jannie Lasimbang dalam satu kenyataannya 9 Mac 2021 berkata, PPR Kibabaig ini perlu segera diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi memungkinkan pemohon yang permohonan mereka telah lulus, dapat menghuni PPR ini segera.
“Saya telah menerima banyak rayuan mengenai permohonan PPR mereka dan saya kecewa kerana saya harus memberitahu mereka bahawa semua kerja, termasuk penyiapan jalan masuk, harus diselesaikan dahulu sebelum penyerahan seterusnya ke KKTP dan Majlis Daerah Penampang.
“Sebilangan pemohon mengatakan bahawa mereka kehilangan pekerjaan dan tidak lagi mampu membayar sewa tinggi kerana wabak COVID-19 ini” kata Jannie.
Menurut Jannie lagi, selain dana perkhidmatan keselamatan lebih baik disediakan, KPKT juga perlu menyediakan dana tambahan untuk menyelenggara persekitaran PPR tersebut secara berkala sementara menunggu kerja lain disiapkan.
“Pejabat ADUN Kapayan telah menghubungi kontraktor dan mereka nyatakan bahawa SESB dijangka menyelesaikan penempatan semula kabel elektrik bawah tanah dalam 1 – 2 minggu dan penyambungan tembok penahan dijangka siap pada bulan Jun 2021,” jelas Jannie.
Jumlah pemohon PPR Kibabaig jauh lebih besar daripada 8 blok unit yang ada dan Jannie berharap semua pemohon mampu menanggung kelewatan ini sedikit lagi.