KPKT Perkukuh Larangan Lesen Penjaja & Kedai Makan untuk Warga Asing, Bukti Kerajaan MADANI Tegas Bela Nasib Penjaja Tempatan

whatsapp image 2025 07 28 at 5.48.40 pm
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus memperkukuh prinsip asasnya: rakyat diutamakan dalam setiap dasar dan tindakan. Terbaharu, kenyataan tegas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Dewan Rakyat bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki atau memohon lesen penjaja, premis perniagaan, kedai makan, bengkel dan pasar harus dipuji dan disokong penuh.
Ini bukan soal sentimen sempit atau xenofobia. Ini soal keadilan sosial dan tanggungjawab kerajaan dalam menjaga periuk nasi rakyat tempatan, terutama golongan B40 dan peniaga kecil yang menjadikan perniagaan mikro sebagai punca rezeki harian.
Kita tidak boleh membenarkan fenomena “lesen atas nama, bisnes atas tangan orang lain” terus berleluasa. Sejak tahun 2023, sebanyak 3,703 operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara. Hasilnya, lebih 14,000 kompaun dikeluarkan, 23 lesen dibatalkan dan hampir 3,000 premis disita. Angka ini bukan kecil, ia membuktikan bahawa ada masalah struktur yang harus ditangani dengan lebih tegas dan konsisten.
Yang lebih membimbangkan ialah taktik licik sesetengah peniaga tempatan yang ‘meminjamkan’ lesen mereka kepada warga asing, membuka jalan kepada penguasaan ekonomi harian oleh pihak luar. Tindakan ini bukan sahaja melanggar syarat lesen, malah mengkhianati kepercayaan kerajaan yang memberi sokongan kepada peniaga kecil melalui sewaan murah dan peluang perniagaan di bawah harga pasaran.
Dalam hal ini, pendekatan KPKT harus dipuji. Dasar sedia ada yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Penjaja dan Perindustrian telah ditegaskan semula iaitu tiada lesen untuk warga asing. Kerajaan bukan sekadar membuat dasar, tetapi juga melaksana dengan tindakan bersepadu bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seperti yang disebut Abang Kor Ming “Tidak sekali-kali Kerajaan membenarkan situasi di mana ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.” Ungkapan ini menggambarkan realiti yang jelas bahawa negara ini mesti mengutamakan rakyatnya dahulu.
Akhirnya, inisiatif ini bukan soal menolak warga asing secara melulu, tetapi soal mengurus peluang dengan adil. Jika peniaga tempatan tidak dibela, siapa lagi yang akan memperjuangkan mereka? Dalam dunia pasca-pandemik yang mencabar ini, Kerajaan Madani menghantar mesej jelas bahawa peluang perniagaan untuk rakyat, bukan untuk diserahkan kepada orang luar.

Recommended Posts