KPM fokus tangani isu sekolah daif skala tujuh di Sarawak

whatsapp image 2023 10 04 at 2.40.33 pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani isu sekolah-sekolah daif berskala tujuh yang masih banyak di Sarawak, pada tahun hadapan.

Menjelaskan perkara terbabit, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan sekolah daif berskala tujuh melibatkan bangunan yang perlu dirobohkan dan dibina semula.

Menurut beliau, perkara ini juga telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri baru-baru ini.

“Banyak sekolah daif di Sarawak statusnya berskala tujuh. Kalau skala tujuh (maknanya) sekolah itu mesti dirobohkan dan dibina semula, ini adalah satu daripada hasrat Perdana Menteri, dan KPM sedang mempercepatkan proses ini,” katanya dilaporkan Bernama.

KPM telah melaksanakan penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang daif berdasarkan analisis skor gred impak dari Skala Satu hingga Skala Tujuh bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah.

Hui Ying baru sahaja selesai lawatan kerja rasmi selama 10 hari ke Sarawak bagi meninjau sendiri keadaan infrastruktur, kerja penyelenggaraan dan operasi sekolah di negeri tersebut.

Beliau memantau sendiri 17 buah sekolah berstatus bantuan kerajaan di Miri, Bintulu, Kuching, Sarikei dan Sibu, selain mengagihkan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM2.34 juta kepada 23 buah sekolah.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan juga sentiasa mengambil berat terhadap isu dan perkembangan sekolah mubaligh di seluruh negara.

“Salah satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya adalah mengawasi pembangunan sekolah mubaligh.

“Pada tahun ini, daripada 104 sekolah rendah mubaligh di Sarawak, 76 daripadanya telah mengemukakan permohonan dan kesemua 76 sekolah ini telah diberikan peruntukan penyelenggaraan, sekurang-kurangnya sebanyak RM50,000 atau jumlah yang dimohon jika permohonan itu kurang daripada RM50,000,” tulisnya dalam satu hantaran Facebook.

Recommended Posts