Krisis Gelandangan KL: Tindakan Segera JKM Diperlukan

Saya merujuk kepada laporan bertajuk “Wilayah Hancing Malukan Negara” yang disiarkan dalam Harian Metro baru-baru ini. Laporan tersebut menyatakan bahawa Kuala Lumpur kini digelar sebagai “wilayah tahi” atau “wilayah hancing”, merujuk kepada keadaan najis dan air kencing gelandangan yang berleluasa di merata-rata tempat. Fenomena ini bukan sahaja mencemarkan imej ibu negara, malah turut menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebersihan, kesihatan awam, dan kualiti hidup penduduk.

Isu gelandangan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hospital, dan polis hanya berperanan sebagai penyokong dalam usaha menangani masalah ini.

Namun begitu, JKM berdepan pelbagai cabaran, antaranya kekurangan dokumentasi, kesukaran untuk berinteraksi dengan gelandangan, sikap tidak bekerjasama dalam kalangan mereka, serta keterbatasan sumber dan fasiliti yang sedia ada.

Masalah ini semakin meruncing disebabkan oleh kemudahan yang tersedia untuk gelandangan mendapatkan makanan dan wang daripada orang ramai yang ingin membantu. Walaupun niat murni masyarakat untuk menyalurkan bantuan amat dihargai, tindakan ini secara tidak langsung menggalakkan pertambahan jumlah gelandangan di ibu kota.

Justeru, saya mencadangkan agar JKM mengambil pendekatan lebih proaktif dan holistik dalam menangani isu ini. Antaranya, JKM boleh menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar. Kajian akademik yang mendalam mampu mengenal pasti punca sebenar masalah ini serta merangka penyelesaian yang lebih berkesan dan jangka panjang.

Selain itu, JKM wajar meneliti dan mencontohi pendekatan yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara seperti Finland, Jepun, dan Singapura dalam menangani isu gelandangan. Model pengurusan yang bersepadu dan berkesan dari negara-negara ini boleh dijadikan rujukan untuk disesuaikan dengan konteks Malaysia.

Kita tidak boleh membiarkan Kuala Lumpur terus dilabel dengan gelaran yang memalukan. Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur harus menjadi contoh sebagai sebuah bandar raya yang bersih, selamat, dan selesa untuk didiami. Oleh itu, tindakan segera dan berkesan perlu diambil bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan mengekalkan imej negara di mata dunia.

Terima kasih.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts