
Mitos `berdikari’
Masyarakat zaman moden sekarang mempercayai mitos ’berdikari’ yang boleh didefinisikan dengan seseorang itu memiliki 5 C; careers (perkerjaan), condos (tempat tinggal), cell phones (telefon bimbit), cars (kenderaan), dan credit cards (kad kredit). Anda tidak boleh meninggalkan rumah tanpa kesemuanya.
Dalam masyarakat tradisional, ahli-ahli keluarga dan masyarakat di tempat itu yang saling memerlukan antara satu sama lain membina ikatan ukhuwah yang kukuh dan juga saling menghargai.
Contohnya, apabila seorang ahli keluarga jatuh sakit, orang yang akan menjaganya sampai ia sihat ialah salah seorang daripada ahli keluarganya sendiri. Hal-hal penjagaan si pesakit, menziarahinya dan jika perlu mengebumikannya, kesemua aktiviti-aktiviti tersebut boleh didapati dengan segera dan mudah. Memasak, membasuh baju, dan lain-lain aktiviti di rumah telah pun ditentukan dan diberikan kepada para remaja untuk dilaksanakan. Ini kerana, mereka telah diajar dan telahpun memahami tugas masing-masing dalam keluarganya. Tiada bibi atau orang gaji untuk membantu mereka membuat semua tugas-tugas di rumah.
Dalam masyarakat moden, para remaja mengalami krisis identiti kerana mereka tidak faham atau tidak diajar tentang peranan mereka didalam keluarga mereka, dan juga peranan mereka dalam sesebuah masyarakat. Ibu bapa mereka pula hanya mengharap anak-anak mereka supaya belajar rajin-rajin untuk peperiksaan, oleh itu, anak-anak ini akan beralih kepada hiburan untuk mencari inspirasi identiti mereka ketika masa lapang yang ada. Kafe siber dan komik-komik juga merupakan aktiviti masa lapang yang digemari oleh para remaja.
Para remaja kini mempunyai banyak masa terluang dek kerana semua tugas-tugas rumah seperti membasuh baju, memasak, menjaga adik-adik kecil, dan lain-lain dilakukan oleh orang gaji mereka. Tidak ramai ibu-bapa menyedari bahawa terlalu banyak memberi wang saku kepada anak-anak mereka merupakan satu kesilapan yang besar yang akan memberi kesan negatif terhadap anak-anak mereka seperti menghancurkan akhlak dan diri mereka sekiranya mereka menyalahgunakan wang yang diberi.
Saya selalu terfikir apakah yang akan terjadi kepada kesihatan dan kehidpan anak-anak kita jika mereka diberi makanan segera dan hanya melepak di hadapan komputer bermain permainan video mereka. Saya jangkakan umur mereka hanya akan mencapai umur kematangan 28 tahun.
Siapakah kita dan apakah hubungan kita terhadap masyarakat setempat? Siapakah kita selain memainkan peranan sebagai guru di sekolah, pekerja di pejabat, pekerja kilang, ahli korporat dan sebagainya? Setelah pulang ke rumah, kita tidak memainkan apa-apa peranan tertentu dalam masyarakat kita.
Jika seseorang kanak-kanak diculik dan dirogol, tidakkah pelik jika kita tidak tahu atau tidak mengenali kanak-kanak tersebut? Eh..rupa-rupanya, dia adalah anak kepada seorang cikgu yang tinggal dua buah rumah berhampiran dengan rumah kita! Siapa yang akan kenal atau pun menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga berhampiran yang rumahnya dipecah masuk pencuri dan diikat oleh pencuri-pencuri tersebut? Sekarang, beritahu saya siapakah orang asing di situasi tersebut? Penjual dari Bangladesh atau pun jiran yang tinggal tiga buah rumah berhampiran dengan keluarga yang rumahnya dipecah masuk?
Dalam gaya bahasa seni bina, kita akan mengatakan bahawa kawasan perumahan dan lorong di situ tidak mempunyai ruang pertahanan (defensible space) dan kawasan jelas (marked territoriality; ini adalah kerana, jiran-jiran tidak mengenali antara satu sama lain. Pada zaman dulu-dulu, perenggangan berlaku disebabkan oleh budaya-budaya yang berbeza dari setiap kaum dan daripada penempatan asal yang berbeza. Dalam zaman moden, perenggangan berlaku dalam budaya yang sama sesama jiran berhampiran.
Paradoks kereta
Kereta merupakan simbol kemajuan….dan kemusnahan manusia. Kemajuan kereta dapat dilihat dengan memberi mobiliti segera. Itu sahaja. Oh..dan ia juga merupakan simbol status kepada seseorang.
Akan tetapi, kereta juga menyumbangkan kepada banyak keburukan. Ia menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius dengan penghasilan asap kereta. Ia juga membazirkan masa apabila seseorang itu berada dalam kesesakan jalan raya. Ia juga membunuh. Kereta sangat merbahaya kepada pejalan kaki dan penunggang basikal yang tiada pilihan dan peluang untuk berjalan di kawasan perumahan kita yang tidak mempunyai tempat khusus pejalan kaki.
Akhir sekali, kereta-kereta boleh menyebabkan perenggangan sosial dengan kelajuannya dan terkurung secara ’eksklusif’ di balik tingkap gelap kereta tersebut. Pada waktu pagi, seseorang itu mengasingkan dirinya dalam ’rumah mobilnya’, mengundurkan keretanya dari halaman rumah, dan pecut laju tanpa menegur atau melambai kepada jiran-jiranya.
Kawasan perumahan kita tidak menyediakan pejalan kaki yang selamat dan menyenangkan seperti menanam pokok-pokok yang rendang, pejalan kaki yang diturap, dan wakaf-wakaf yang serbaguna. Kita hidup di dalam sebuah rumah yang berhawa dingin, dan memandu kereta yang berhawa dingin, dan pergi ke tempat kerja atau pejabat yang berhawa dingin, dan selalu bersiar-siar di pasaraya atau tempat peranginan yang berhawa dingin. Kesemua tempat berdingin ini mengasingkan kita dari masyarakat.
Apakah itu kemajuan? Kita perlu menggembleng teknologi untuk kepentingan kemasyarakatan. Bukannya membiarkan teknologi menentukan arah hidup dan suasana kekeluargaan atau kemasyarakatan.
Konsep perumahan rekaan pelajar Lim Yong Long (UTM) yang mementingkan interaksi kejiranan serta mewujudkan ’defensible space’ yang lebih selamat dari diceroboho orang luar. Konsep ini bertentengan dengan konsep petak grid jalanan perumahan masa kini.
Kapasiti yang menampung sesebuah masyarakat
Saya masih ingat lagi subjek sains alam sekitar (enviromental science) yang saya telah ambil untuk mempelajari konsep kapasiti penampungan di Universiti Wisconsin, Green Bay, USA pada tahun 1980-an.
Konsep tersebut bermaksud, dalam sesuatu habitat, rangkaian pemakanan boleh memuatkan banyak haiwan-haiwan seperti gajah, harimau, belalang, arnab, dan lain-lain. Jika ianya terlalu sesak, beberapa ekor haiwan-haiwan yang lain mesti berpindah ke tempat rangkaian pemakanan yang lain. Victor Papanek, salah seorang daripada tokoh falsafah moden seni reka, ada menyatakan yang bandar-bandar zaman dahulu kala seolah-olah mempunyai kemampuan kapasiti untuk menampung tidak lebih dari 600 buah keluarga. Kampung-kampung pula akan mempunyai kapasiti yang lebih kecil daripada sesebuah bandar.
Keangkuhan kehidupan moden kini membuatkan pemaju-pemaju kawasan perumahan kos rendah telah memuatkan 1,000 buah keluarga dan disumbatkan dalam 20 blok tidak lebih dari 50 kaki.
Seni reka kawasan perumahan tersebut mengingatkan saya tentang buku-buku yang disusun dalam rak buku di perpustakaan. Idea mengenai kapasiti penampungan kepada pemaju-pemaju perumahan seolah-olah lebih penting dari segi pinjaman banknya, saiz tangki air, dan jumlah kuasa elektrik yang dibekalkan oleh kuasa jana. Interaksi manusia dan berperi kemanusiaan dan privasi sudah tidak penting lagi. Pembinaan masjid-masjid juga tidak terlepas dari kapasiti penampungan yang moden.
Seringkali saya mengemukakan idea dan konsep masjid sebagai tempat pembangunan masyarakat dengan mencadangkan pembinaan masjid di reka dalam bentuk yang kecil dan kuantiti banyak, masih ada lagi persoalan untuk membina masjid dalam kuantiti yang sedikit tetapi direka secara besar kerana ia akan lebih ’muat’ dalam sesuatu kawasan dan juga kelihatan mewah. Tuhan akan lebih suka jika kita mengabadikan RumahNya agar ia tersergam indah.
Saya tidak boleh menjamin untuk Tuhan dan perasaanNya, dengan sukarelanya saya mengatakan bahawa masjid-masjid yang direka besar dan mewah akan menyebabkan kesukaran kepada sesiapa sahaja dari segi perjalanan yang jauh untuk ke masjid dan juga pengasingan daripada masyarakat yang lain yang bersembahyang di dalam masjid mewah tersebut. Manakala, surau yang kecil dan mempunyai kapasiti untuk menampung 200 orang adalah lebih mengeratkan antara penganutnya antara satu sama lain jika dibandingkan dengan sebuah masjid yang mempunyai kapasiti 3000 orang.
Flat moden yang memberikan kehidupan berhimpit yang tidak menghormati privasi antara budaya dan keselamatan kanak-kanak.
Kesimpulan
Maka dengan isu-isu yang telah dibincangkan, kita perlu mengkaji semula kawasan perumahan moden kini dan mempersoalan keberkesanannya sebagai tempat untuk mendirikan dan mendidik sebuah keluarga. Kelemahan interaksi sosial telah menyebabkan banyak masalah sosial dan jenayah berlaku dan isu-isu keselamatan kanak-kanak juga telah diabaikan. Penggunaan penghawa dingin telah menyebabkan perenggangan masyarakat ke tahap yang kita ini seolah-olah hidup dalam kawasan tempat meletak kereta. Dalam artikel-artikel saya yang seterusnya kita akan membincangkan beberapa aspek seni bina kemasyarakatan dengan mendalami isu-isu mengenai rumah, sekolah, masjid, dan pusat masyarakat atau community centers.– Roketkini.com