Krisis perumahan dan dilema masyarakat 1Malaysia: Bahagian Pertama – oleh Prof Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi

18 JUN – Banyak juga retorik yang telah dilemparkan oleh Perdana Menteri tentang mengeratkan perpaduan masyarakat Malaysia dengan slogan 1Malaysia. Saya tidak dapat komen tentang strategi politiknya sama ada dari kenyataaan UMNO atau tindak tanduk ‘rakannya’ PERKASA tetapi saya dapat lihat bahawa hasilnya masih di takuk lama. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat hasil strategi ini dan menilai keadaan komuniti atau semangat kemasyarakatan dalam perumahan kita sahaja.

Sebagai seorang yang terlatih dalam reka bentuk seni bina, saya telah membuat satu kesimpulan  bahawa masalah-masalah yang sedang melanda kawasan perumahan, sebagaimana dalam penulisan-penulisan saya sebeum ini, tidak dapat dipisahkan daripada  persoalan yang lebih besar mengenai konsep “masyarakat” Malaysia moden.

Saya perlu meletakkan tanda kurungan pada perkataan masyarakat, kerana seseorang itu mesti memastikan sama ada wujudnya atau tidak sebuah “masyarakat” sebagaimana yang telah kita fahami selama ini. Dalam perbincangan ini, saya akan cuba untuk menunjukkan yang kita perlu memperbaharui definisi tentang idea kita mengenai masyarakat Malaysia moden dan juga pentingnya kita ada pemangkin untuk pembasmian masalah-masalah sosial kini. Kita perlu memperbaharui definisi kawasan-kawasan perumahan dari segi kemudahan-kemudahan awam dan juga dari reka bentuknya.

Masalah-masalah dalam masyarakat Malaysia yang hidup dalam zaman moden

Pada masa ini, jika kita memandu kenderaan ke mana-mana, salah satu pemandangan yang akan kita lihat adalah kawasan-kawasan perumahan moden yang begitu banyak sekali. Kawasan-kawasan perumahan seperti ini menunjukkan kemegahannya dari segi kemudahan-kemudahan moden dan infrastruktur yang mahal seperti taman permainan, masjid, dewan serbaguna, rumah kelab, kedai-kedai, dan banyak lagi. Rumah-rumah dalam estet perumahan pula tersebut berharga dalam lingkungan RM25,000 hingga RM700,000, dan kekayaan masyarakatnya juga dapat dilihat dari kuantiti dan kualiti kereta mereka yang berbagai jenis yang dapat dilihat di perumahan-perumahan tersebut.

Selama setengah kurun Malaysia mengukir sejarahnya, tidak pernah wujud penempatan masyarakat yang begitu banyak sekali di dalam suatu kawasan perumahan. Tetapi persoalannya sekarang ialah, apakah jenis masyarakat yang wujud di lokasi-lokasi kawasan perumahan? Ataupun persoalan yang lebih tepat, wujudkah apa-apa jenis masyarakat dalam populasi yang sebegitu besar di sesuatu kawasan perumahan moden?

Di dalam bahagian ini, saya mengemukakan hujah bahawasanya masyarakat-masyarakat di Malaysia wujud hanya segelintir sahaja dan dalam jarak yang dekat, akan tetapi, realitinya di sini ialah, kita hanyalah masyarakat yang hidup dalam keadaan tidak mengenali jiran-jiran yang tinggal bersebelahan. Orang Melayu ramai yang tak kenal orang Melayu lain, lebih parah lagi kenalan antara kaum.

Imej perumahan Malaysia tidak ubah sebuah lot parkir kereta. Tidak wujud perabut luar yang boleh menggalakan interaksi soisal. (Taman Melawati, Skudai)

Dilema budaya

Salah satu perbezaan yang paling ketara di antara masyarakat berbudaya tradisional dan masyarakat berbudaya moden ialah, selalunya, masyarakat budaya tradisional mempunyai satu budaya sahaja, manakala dalam masyarakat budaya moden mempunyai lebih dari satu budaya yang menempati suatu kawasan perumahan yang sama.

Untuk menunjukkan yang Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa, satu keputusan bersama pemaju-pemaju perumahan telah diambil yang dilihat sebagai positif untuk merancang sebuah penempatan yang memuatkan berbagai-bagai kaum dalam suatu kawasan perumahan. Pemaju perumah di Malaysia telah bersetuju untuk berbuat demikian, akan tetapi, usaha untuk mengintegrasi dan galakan supaya dapat mengenali kaum-kaum dalam suatu kawasan perumahan secara aktif dan positif tidak diadakan.

Dalam masyarakat tradisional yang mempunyai satu budaya sahaja, norma-norma sosial, moral, dan keagamaan telah pun difahami dan disemai dalam kehidupan seharian masyarakat tersebut. Persekitaran fizikal masyarakat tradisional adalah hasil manifestasi norma-norma tersebut sebagaimana yang dibuktikan dalam kaeah-kaedah dalam pengawalan privasi dari segi lokasi bangunannya, penggunaan elemen-elemen lanskap dan komposisi tingkap-tingkap dan pintu-pintu.

Anda tidak akan mengalami masalah-masalah serius seperti kedudukan tingkap yang rapat dan bertentangan dengan tingkap jiran di belakang rumah yang akan mencerobohi hak privasi masing-masing. Ini adalah kerana, si tukang rumah adalah daripada budaya yang sama dan memahami hak privasi di dalam budayanya.

Bertentangan dengan tukang rumah yang moden, arkitek-arkitek dan pemaju rumah kini tidak begitu memahami dan tidak mengambil berat tentang isu-isu seperti hak privasi. Dalam masyarakat tradisional, anda tidak akan mengalami masalah-masalah seperti asap colok sembahan orang Cina yang ‘mengharumi’ udara di dalam rumah anda.

Maka dengan keadaan sebegitu rupa, satu cadangan yang ekstrem telah dikemukakan untuk memajukan sebuah kawasan perumahan di mana rakyat yang berbilang kaum akan dipisahkan mengikut budaya masing-masing demi mengatasi masaalah-masalah seni reka perumahan. Akan tetapi, cadangan ini ditolak kerana ia tidak akan menggambarkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang hidup bersama dengan harmoni.

Satu cadangan yang baik untuk mengatasi masalah asap sembahan daripada memasuki rumah anda adalah dengan mereka cerobong. Satu lagi cadangan yang lebih baik adalah dengan menghapuskan reka bentuk rumah teres dan membuat rancangan untuk membaiki pengaliran udara yang lebih bagus di dalam rumah. Suatu strategi jangka masa panjang adalah dengan merancang satu kokurikulum masyarakat untuk mengajar cara-cara saling bertoleransi antara kaum-kaum di Malaysia. Seseorang perlu mengajar dan menujukkan kepada masyrakat cara-cara untuk hidup dalam norma sosial antara kaum.

Masalah perlanggaran privasi visual menegangkan hubungan kemasyarakatan jika tingkap-tingkap bilik masih bersetentangan dalam jarak 20 kaki kini dan di masa hadapan.

Dilema sosio-ekonomi

Dalam masyarakat tradisional, aktiviti-aktiviti yang mendatangkan hasil kepada ekonomi mereka yang menetap di kawasan perkampungan mempunyai budaya yang sama dan juga mempunyai pekerjaan yang sama atapun yang berkaitan diantara satu sama lain. Perkampungan yang berdekatan dengan laut melakukan akitiviti nelayan, manakala yang berada dalam kawasan pedalaman akan melakukan aktiviti pertanian dan penternakan.

Maka dengan itu, tidak hairanlah jika kita perhatikan terdapat suatu ikatan yang kukuh diantara penduduk di kawasan perkampungan tradisional yang mempunyai kawasan pekerjaan yang berdekatan, aktiviti yang saling bergantung antara satu sama lain, keraian hasil kejayaan yang sama, dan juga semangat bekerjasama yang kuat sebagaimana yang terdapat dalam peribahasa Melayu,  berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Jika kita bandingkan dengan aktiviti ekonomi masyarakat moden, seperti pekerja-pekerja pejabat, pekedai-pekedai dan lain-lain, kebanyakannya berkerja di tempat-tempat yang berlainan dan juga skop pekerjaan yang berbeza. Dengan itu, anda tidak perlu berasa hairan dengan situasi-situasi di mana jiran-jiran berdekatan bagaikan orang asing dek kerana dua per tiga daripada aktiviti-aktiviti mereka dihabiskan di tempat kerja masing-masing. Mereka juga tiada masa untuk bersosial sesama jiran kerana mereka perlu berehat, melayan karenah anak-anak dan kerja sekolah mereka, dan juga keluar untuk makan malam. Menyediakan sajian makanan di rumah semakin lama semakin pupus untuk dilakukan sebagai salah satu ritual.

Konsep ”hujung minggu” kini merupakan aktiviti-aktiviti peribadi yang hanya dilakukan bersama kelarga sendiri seperti membeli-belah di kompleks pasaraya ataupun bercuti di tempat peranginan. Namun begitu, sekurang-kurangnya pada orang Islam, mereka masih perlu pergi ke masjid bersama orang-orang Islam yang lain untuk solat berjemaah fardu Subuh, Maghrib, dan Isya’, dan juga bagi kaum lelaki, mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Orang-orang Islam juga perlu menghadiri aktiviti-aktiviti keagamaan dan perayaan.

Saya tidak begitu pasti dengan masyarakat Cina kerana pada pemerhatian saya, mereka lebih menumpukan perhatian kepada keluarga masing-masing. Maka dengan itu, kita dapat melihat masyarakat Malaysia menjadi semakin lemah dengan terjadinya reaksi pemencilan hasil daripada ritual pekerjaan moden. Ia sangat ketara di kalangan kaum Cina dan hubungan Melayu-Cina.

Saya tidak dapat memberi pendapat tentang kaum India kerana saya tidak mempunyai pengalaman membesar dalam masyarakat India, namun, saya yakin ia adalah sama sahaja.

Tahap kesedaran orang Melayu kelas pertengahan tentang kepentingan masyarakat masih di tahap yang sederhana kerana ajaran Islam ala-Melayu hanya menuntut penglibatan minima dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menunaikan solat berjemaah di masjid dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain. Jika kaum Cina dan India mempunyai harapan yang mencukupi terhadap hal kemasyarakatan, kemungkinan besar, kelemahan tahap penglibatan mereka di dalam kaum masing-masing tidak begitu ketara.

Saya pernah menetap dan melawat berbagai-bagai kawasan perumahan dan saya dapati banyak tokong-tokong dan kuil yang terbiar tanpa apa-apa aktiviti dan masih memerlukan kehadiran orang ramai di situ. Saya juga telah mendapati pada hari Ahad, ramai orang-orang yang terdiri daripada dua kaum tersebut akan memenuhi gereja-gereja di rumah kedai. – Roketkini.com

Prof Dr Mohamad Tajuddin M. Rasdi adalah Profesor Jabatan Seni Bina di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia

Akan datang: Perumahan moden dan kelemahan interaksi sosial

Recommended Posts